KECEWA Dengan P4 Lebih Baik Daripada Jatuh - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/11/20251 min read

JAGUH Perancis, Fabio Quartararo mengakui ke-4 pada Perlumbaan Sprint di Grand Prix laman sendiri sebagai mengecewakan tetapi ia jauh lebih baik daripada pulang dengan tangan kosong.

Pelumba Monster Yamaha itu sekali lagi memulakan perlumbaan di petak utama yang menafikan Marc Marquez kedudukan itu dan menariknya dilakukan dengan memecahkan rekod terpantas sepusingan di Le Mans.

Sekalipun cuba dipintas Marquez di awal perlumbaan, juara dunia MotoGP 2021 mampu memeprtahankan posisi itu pada lima pusingan pertama.

Tetapi selepas dipintas Marquez pada pusingan ke-6, situasi sama berulang apabila dia turut dipintas dua pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez dan Fermin Aldeguer pada beberapa pusingan seterusnya sekali pun jelas sudah berusaha keras.

"Apa saya cuba katakan, sebelum ini, kami tidak pernah mencapai pada tahap ini pada Perlumbaan Sprint dan untuk kecewa dengan kedudukan ke-4 adalah perkara yang baik," kata Quartararo kepada MotoGP.com

"Sudah tentu, saya mahu berada di podium Sprint tetapi kami perlu mendapatkan perlumbaan yang bijak dan menerima tiga pelumba di depan kami lebih laju.

"Tetapi saya menikmatinya dan saya fikir kami memberikan pertunjukkan yang hebat pada beberapa pusingan pertama.

"Harapnya esok (hari ini) tahap degradasi tayar kami akan sedikit kurang."

Quartararo mengakui pelannya adalah sentiasa mengerah keras jenteranya terutama pada awal perlumbaan namun mengakui 'jurang' antara Yamaha dan Ducati terutama dari sudut kelajuan masih jauh.

"Ia sentiasa rancangannya kerana kami bergelut sedikit dengan kuasa, termasuk dengan enjin baharu sekali pun ia membantu sedikit," kata Quartararo. "Tetapi kami boleh lihat yang kami masih amat jauh daripada Ducati pada laluan lurus dan kami tahu yang kami amat mahukan persaingan dengan mereka.

"Kami tahu, tetapi untuk mencapainya adalah sesuatu yang lebih sukar buat para jurutera. Tetapi seperti saya katakan, hebat untuk memperoleh kekecewaan dengan tempat ke-4 pada Sprint dan cuba memberikan yang terbaik.

"Kami tahu yang kadang kala kami perlu menerima kedudukan ke-4 dan tidak masuk akal untuk jatuh bagi mencari tempat ke-3. Kadang kala kami perlu menerima yang kami tidak mempunyai kelajuan untuk p3.

"Tetapi saya amat menikmatinya dan beberapa pusingan sebagai pendahulu dan mampu rapat dengan mereka adalah hebat."