KECEWA, Tapi Ia Juga Jadi Pembakar Semangat - Qabil Irfan
Prestasi Qabil Irfan Azlan pada Pusingan 4 Piala Eropah Moto4 (Moto4 EC) 2026 di Magny-Cours, Perancis tidak seperti diharapkan apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-8 dan ke-15 pada Perlumbaan 2
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/28/20261 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mengakui sedikit kecewa dengan prestasinya pada Pusingan 4 Piala Eropah Moto4 (Moto4 EC) 2026 di Magny-Cours, Perancis minggu lalu, namun enggan membiarkan emosi itu mematahkan semangatnya.
Walaupun menghabiskan masa lebih lama di Eropah untuk menjalani latihan, pelumba berusia 14 tahun itu terpaksa menelan kepahitan apabila bergelut mencari keserasian di litar baharu berkenaan, sekali gus merencatkan rentak tunggangannya.
Meluahkan perasaannya selepas perlumbaan, Qabil mendedahkan dia sudah mencuba sehabis baik untuk memahami selok belok litar, namun kebuntuan untuk memperbaiki catatan masa pada pusingan kelayakan benar-benar menguji mentalnya.
"Pada hari pertama, saya belajar mengenali litar dengan cepat dan cuba fokus sepenuhnya. Walaupun berjaya mencatat masa 1 minit 49 saat (s) pada sesi latihan bebas kedua, saya akui masih ketinggalan kira-kira satu saat berbanding pelumba lain.
"Saya cuba perbaiki catatan masa itu, tetapi tidak berjaya. Lebih mengecewakan, pada sesi kelayakan di hari kedua, saya sekadar mencatat masa yang sama seperti sesi latihan dan terpaksa reda bermula di petak ke-22," katanya.
Qabil dalam pada itu menyifatkan kedua-dua perlumbaan hujung minggu lalu sebagai sangat sengit dan menuntut kekuatan mental yang tinggi.
Biarpun berpuas hati dapat melawan tekanan untuk menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-8, dia mengakui hilang kelebihan pada Perlumbaan 2 yang menyaksikannya sekadar melintasi garisan penamat di kedudukan ke-15.
"Saya rasakan Perlumbaan 2 sangat sukar kerana saya tidak mempunyai kelebihan jentera atau ruang untuk memotong pelumba lain di hadapan.
"Sejujurnya, saya sedikit kecewa dengan keputusan pusingan ini kerana sasaran saya lebih tinggi. Namun, saya tidak akan mengalah, saya akan jadikan ini pengajaran dan berusaha keras untuk tampil lebih baik pada pusingan seterusnya," kata prospek masa depan sukan permotoran negara itu.

