'KECOH' Di SIC, Siasatan Terperinci Sedang Dijalankan
TULAR
7/20/20231 min read
TULAR di media sosial, baru-baru ini beberapa insiden tak 'sedap didengar' yang terjadi di litar kebanggaan negara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membabitkan acara 'track day'. Terkesan dengan insiden itu, pihak pengurusan SIC mengeluar satu kenyataan media.
Mengakui kesal dengan apa yang berlaku, SIC berkata pihak pengurusan litar memandang serius insiden berkenaan dan berjanji akan melakukan siasatan secara terperinci.
"Pihak pengurusan litar sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa, penganjur acara dan pasukan keselamatan untuk mengumpul segala maklumat yang diperlukan dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang bertanggungjawab," tulis kenyataan berkenaan.
"SIC komited untuk menegakkan standard profesionalisma tinggi, integriti dan semangat kesukanan dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelakuan yang menjejaskan nilai positif dan semangat di litar berkenaan."
Difahamkan, insiden yang tular di media sosial itu berlaku ketika acara Adrenaline Rush Trackday (ART) pada Sabtu lalu (15 Julai).
Selain kes kemalangan kereta mewah, paling mendapat perhatian dan dikesalkan SIC adalah insiden membabitkan situasi panas 'berperang mulut' yang membabitkan beberapa peserta dan penganjur sehingga mengakibatkan fasiliti SIC mengalami kerosakan.
Untuk kemalangan di atas litar, setiap peserta acara trackday atau penganjur sememangnya dimaklumkan mengenai risiko kerosakan fasiliti seperti penghadang jalan, tumpahan minyak dan sebagainya di mana mereka perlu menanggung kos kerosakan yang terjadi.
Selain insiden membabitkan pertelingkahan (ada video mengenainya), insiden lain yang berlaku ketika acara itu adalah kemalangan yang membabitkan sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.
Begitupun, SIC turut menjelaskan kenyataan media yang dikeluarkan tidak membabitkan kemalangan kereta jenis Honda Civic yang berlaku sehari sebelum itu yang turut mengakibatkan kerosakkan kepada penghadang dan juga kamera CCTV.
Selian itu, SIC turut menjelaskan nilai kerosakan bukanlah setinggi RM 300,000 seperti ditularkan di media sosial.