KEDUDUKAN Ke-14 Berganda Di Austria, Hakim Danish Tekad Bangkit Di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/18/20241 min read

HAKIM Danish Ramli mengharungi minggu terburuknya dalam kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 selepas menamatkan kedua-dua perlumbaan di kedudukan ke-14 di Austria, minggu lalu.

Secara keseluruhan, aksi di Red Bull Ring itu sekadar memberikan tambahan 4 mata kejuaraan kepada pelumba kelahiran Terengganu itu - paling sedikit selepas lima pusingan RBMRC 2024 berlangsung.

Bukan hanya ketika perlumbaan, pelumba berusia 17 tahun itu turut bergelut pada hari pembukaan di Austria dan terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-17.

Berharap untuk bangkit ketika perlumbaan, hanya kedudukan ke-14 berjaya diraih Hakim Danish yang mengakui apa yang berlaku di Red Bull Ring tidak berjalan seperti dirancang.

"Dalam perlumbaan saya masih lagi bergelut dan tidak dapat mengejar kumpulan hadapan," kata Hakim Danish."

"Walaupun saya berusaha untuk merapatkan jurang, tetapi tidak dapat."

Sebelum ke Austria, Hakim Danish menghuni tangga keenam carta pelumba namun keputusan yang diraih selepas perlumbaan berakhir semalam menyaksikannya jatuh ke tangga ke-7 dengan mengutip 87 mata.

Kedua-dua perlumbaan di Austria berjaya dimenangi pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe yang menyaksikannya merampas kedudukan pendahulu dengan mengumpul keseluruhan 177 mata.

Mengulas aksi pusingan 6 di Aragon, Sepanyol yang dijadual berlangsung pada 31 Ogos dan 1 September depan, Hakim Danish berjanji untuk mencipta kebangkitan.

"Saya tidak berputus asa, saya akan bangkit semula untuk perlumbaan seterusnya di Aragon nanti. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik."