KEEWAY 'Kembali Rancak', Lancar Skuter Klasik Keeway Sixties 250 (2024) Di Malaysia, RM 13.9k!

PELANCARAN

5/27/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal China, Keeway mengemaskini penawarannya di pasaran Malaysia dengan melancarkan model terbaharu dalam segmen skuter bergaya retro, Keeway Sixties 250 (2024).

Dilancarkan sempena Malaysia Autoshow 2024, harga yang diumumkan untuk Keeway Sixties 250 (2024) cukup menarik iaitu RM 13,888 (asas).

Seperti biasa, harga yang didedahkan adalah asas dan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dan tiga pilihan warna tersedia iaitu Matte Black, Matte Green dan Light Blue. Skema warna yang 'dekat' dengan retro itu kemudian dipadankan dengan kemasan 'chrome'.

Tampil sebagai model yang mendapat inspirasi daripada era-60an dengan lampu bulat dan pelana 'vintage', Keeway Sixties 250 (2024) masih sebuah skuter moden yang dilengkapi dengan pelbagai ciri yang menarik.

Mengulas bahagian trenkuasa, Keeway Sixties 250 (2024) digandingkan dengan enjin 244.3 cc, 1 Silinder, penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi automatik.

Kuasa yang dihasilkan adalah 15 kw pada 8,000 rpm dan tork 21 Nm pada 6,250 rpm.

Didakwa memiliki prestasi yang responsif, Keeway mendakwa Keeway Sixties 250 (2024) sebagai model sempurna untuk digunakan sehari-harian ke tempat kerja atau melakukan aktiviti konvoi di hujung minggu.

Ciri-ciri moden dan menarik lain adalah seperti suis pemula elektrik, sistem lampu LED penuh, panel meter gabungan analog/digital dan antara paling utama, memiliki ruang simpanan bawah pelana yang mampu memuatkan sebuah helmet.

Seperti motosikal/skuter moden lain, Keeway Sixties 250 (2024) turut dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran bersama brek cakera (depan/belakang).