KEEWAY RKR 250, Bawah RM 14k Dah Dapat 'Sportbike' 2 Silinder, Rekaan Agresif!

Selain skuter Keeway BX200i, Keeway Malaysia turut melakukan 'serangan' ke atas pasaran 'Sportbike' suku liter 2 Silinder tempatan dengan melancarkan Keeway RKR 250 yang diumumkan pada harga jualan cukup mengujakan

TERKINI

12/22/20251 min read

SELAIN skuter yang diposisi untuk 'menyerang' segmen skuter sport, Keeway BX200i, Keeway Malaysia turut melakukan 'serangan' ke atas pasaran 'Sportbike' suku liter 2 Silinder temapatan apabila melancarkan Keeway RKR 250 yang diumumkan ketika lawatan ke China, baru-baru ini.

Tiba di Malaysia menerusi MForce Bike, apa yang menarik adalah harga jualan yang diumumkan iaitu RM 13,888.

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Pada harga RM 13,888, mungkin ada yang beranggapan ia adalah 'Sportbike' yang dipadankan dengan enjin 1 silinder.

Tetapi ironinya, Keeway RKR 250 adalah model yang dipadankan dengan enjin 2 Silinder Sebaris dengan kebanyakan pencabar dalam segmen sama dan dari negara 'J' dijual pada harga jauh lebih tinggi.

Tidak hanya harga jualan yang menarik, rekaan motosikal ini turut boleh dipuji dan dikatakan menepati citarasa semasa dan agresif menerusi fairing aerodinamik, lampu depan tajam, ekor sport, yang menyerlahkan imej 'Sportbike' yang mampu dilenjan secara agresif di litar.

Ulas trenkuasa, Keeway RKR 250 dipadankan dengan enjin 249.3 cc, 2 Silinder Sebaris, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap sistem klac Slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah 31.5 Hp @ 10,500 rpm dengan tork 22.5 Nm @ 9,500 rpm.

Tidak cukup dengan 'rupa' dan harga yang menarik, Keeway RKR 250 juga tidak kedekut dengan teknologi. Antara yang dipadankan adalah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran (boleh nyahaktif), Kawalan Cengkaman (TCS), lampu LED penuh termasuk DRL, Panel meter TFT 5 Inci dan Port USB A, C.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal 320 mm, kaliper 4 Piston (depan), cakera tunggal 240 mm, kaliper 1 Piston (belakang).

Suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Info lain adalah seperti:

  • Set roda 110/17-17 (depan), 150/60-17 (belakang)

  • Tinggi pelana 770 mm

  • Tangki bahan api 12 liter

  • Berat 165 kg

Menurut Keeway Malaysia, Keeway RKR 250 akan tampil dengan tiga pilihan warna iaitu Biru, Hitam dan Merah serta dijangka akan mula 'mendarat' di cawangan MForce Bike bermula Januari 2026.