KEEWAY RKR250 (2026) Dah Sampai Malaysia, RM 13,888!

Ditawarkan pada harga RM 13,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), tidak salah untuk menyatakan dengan angka itu Keeway RKR250 yang memiliki rekaan yang moden sebagai antara paling berbaloi dalam segmennya ketika ini

TERKINI

4/16/20261 min read

PEMINAT motosikal bergaya 'Sportbike' tempatan pada tahun lalu dikejutkan dengan pelancaran 'Sportbike' 250 cc, 2 Silinder untuk pasaran Malaysia di China dan model berkenaan - Keeway RKR250 (2026) diumumkan sudah tiba di bilik pameran MForce Bike, hari ini.

Ditawarkan pada harga RM 13,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), tidak salah untuk menyatakan dengan angka itu Keeway RKR250 yang memiliki rekaan yang moden sebagai antara paling berbaloi dalam segmennya ketika ini.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:

  • Night Black

  • Flame Red

Ulas trenkuasa, Keeway RKR250 (2026) dipacu enjin 249.3 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digabungkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Ia mampu menghamburkan kuasa sebesar 31.5 Hp pada 10,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 9,500 rpm.

Suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) dengan jarak gerak 100 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan jarak gerak 42.5 mm (belakang).

Sistem brek dipacu cakera tunggal 320 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang memiliki ciri nyahaktif.

  • Set roda 110/70-17 (depan) dan 150/60-17 (belakang)

  • Sistem penghidup elektrik

  • Tangki bahan api 12 liter

  • Tinggi pelana 770 mm

  • Lega bumi 148 mm

  • Berat 130 kg

Ciri-ciri moden yang dipadankan termasuklah panel meter TFT 5 inci dengan sambungan telefon pintar menerusi Carbit Ride, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, suis keselamatan tongkat sisi dan sistem Lampu LED penuh.

Seperti motosikal moden lain, Keeway RKR250 turut memiliki teknologi Kawalan Cengkaman (TCS) boleh nyahaktif serta selain Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar (TPMS).

Macam biasa, setiap pembelian Keeway RKR250 boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.