KEEWAY XDV180 EVO (2025) Rasmi Di Malaysia, RM 9.4k!
Persaingan dalam segmen skuter bergaya 'Adventure' di Malaysia terus meriah yang menyaksikan pihak MForce Bike melancarkan penawaran terbaharunya di pasaran tempata menerusi Keeway XDV180 EVO
PELANCARAN
8/3/20251 min read


'PERANG' skuter di pasaran Malaysia terus hangat apabila KEEWAY Malaysia melancarkan salah satu model yang dinanti-nantikan kehadirannya disebabkan reka bentuknya, Keeway XDV180 EVO (2025), hari ini.
Dan seperti dijanjikan oleh pihak MForce Bike selaku pengedar eksklusif jenama Keeway di Malaysia, harga jualan yang diumumkan cukup menarik iaitu RM 9,388 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Tampil dengan tiga pilihan warna Grey, Black dan White, KEEWAY XDV180 EVO (2025) akan mula 'mendarat' di cawangan-cawangan pengedar sah MForce Bike bermula esok.
Seperti diketahui, Keeway XDV180 EVO (2025) adalah skuter bergaya 'Adventure' dan menariknya, cukup mirip dengan jenama popular dari negara Matahari Terbit.
Tetapi tidak hanya gaya, ia turut dipadankan dengan pelbagai 'jajan' menarik yang kebiasaannya tidak ada dalam skuter segmen berkenaan.
Mengulas trenkuasa terlebih dahulu, Keeway XDV180 EVO (2025) dijana enjin bersesaran 174 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 18.2 Hp pada 8,500rpm dan tork 17.2 Nm pada 6,500 rpm.
Menggunakan saiz piston dan lejang adalah 61 mm x 59.6 mm dengan nisbah mampatan 11.5:1, menurut Keeway ia menghasilkan tunggangan yang cekap dan responsif.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik dan penyerap hentak berkembar lengkap dengan 'sub tank' di bahagian belakang. Sistem henti pula dikendalikan brek cakera tunggal (depan/belakang) lengkap dengan Sitem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Ciri-ciri dan info menarik:
Kawalan Cengkaman (TCS) ada ciri nyahaktif
Fungsi DVR (Driving Video Recorder) di bahagian depan
Ada ciri sambungan telefon pintar dan tersedia kad memori dengan kapasiti 32 GB.
Panel meter TFT berwarna bersaiz 7 inci
Sistem tanpa kunci (keyless)
Lengkap rak belakang untuk 'top box' bersaiz sekitar 45 liter
Lega bumi 140 mm
Tangki bahan api 10 liter
Set roda 110/80-14 (depan), 130/70-13 (belakang) Tayar 'dual purpose', Rim 'Sukan'
Berat 145 kg
Seperti biasa, setiap pembelian Keeway XDV180 EVO (2025) akan menerima jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.














