KEHADIRAN Marc Marquez Buat Pecco Kurang Selesa - Vale
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/24/20241 min read
VALENTINO Rossi mengakui terkejut dengan keputusan Ducati Corse memilih Marc Marquez sebagai rakan sepasukan anak didiknya, Francesco Bagnaia bersama Ducati Lenovo dalam kempen MotoGP musim depan.
Begitupun, juara dunia sembilan kali itu percaya Bagnaia atau lebih dikenali sebagai Pecco mampu mengawal 'situasi' yang dijangka akan berlaku dalam garaj pasukan itu.
Hubungan Rossi dan Marquez seperti diketahui sentiasa 'tegang' ketika kedua-duanya masih bersaing dan ia nampak berlanjutan selepas pelumba Itali itu menggantung sut lumbanya.
"Kehadiran Marc mengejutkan semua orang. Kepada saya, kepada Pecco, tetapi lebih mengejutkan daripada orang lain adalah Jorge Martin," kata Rossi memetik laporan Marca.
"Sudah pasti sukar untuk Pecco kerana dia akan mempunyai rakan sepasukan yang amat kurang menyenangkan, tetapi saya fikir dia mempunyai segala-galanya untuk menghadapinya.
"Dari sudut kewartawanan, saya tahu ia adalah topik yang menarik, tetapi Pecco tidak memerlukan Marquez dalam pasukannya untuk membuktikan dia adalah yang terkuat.
"Pelumba yang sudah memenangi tiga kejuaraan dunia, dua daripada secara berturut-turut di MotoGP bersama Ducati, ia tidak diperlukan."
Sekalipun belum menjuarai sebarang perlumbaan bersama jentera Ducati, Marquez menjadi pilihan Ducati Corse berbanding Martin yang ketika itu sedang memimpin carta kejuaraan.
Dan keputusan itu menyaksikan pengeluar Itali itu kehilangan khidmat tiga pelumba iaitu Martin, Enea Bastianini, Marco Bezzecchi serta pasukan satelitnya, Pramac.
Pramac tanpa berselindung menyatakan keputusan Ducati Corse memilih Marquez menjadi antara punca pasukan itu menyertai Yamaha namun Ducati mempertahankan diri dengan menyatakan kehadiran pelumba bintang Sepanyol itu tidak mengubah prinsip mereka.