KEHADIRAN Penyokong JDT Tingkatkan Motivasi Saya - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/12/20241 min read

TIBA ke Sepang sebagai penghuni tangga ke-2 carta kedudukan pelumba kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, Hafizh Syahrin Abdullah berharap sesuatu yang bermakna dapat dijelmakan pada aksi di laman sendiri itu minggu ini.

Menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan di depan pendahulu, Andi Farid Izdihar dari Indonesia yang disifatkan sebagai pencabar utamanya, ia turut bermakna pelumba JDT Racing Team itu memburu kejayaan di podium termasuk kemenangan.

Berentap buat pertama kali sebagai pelumba JDT Racing Team di Sepang, pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu dijangka bakal menerima tonik terbaik apabila dikatakan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dikatakan akan datang ke Sepang bagi memberikan sokongan kepadanya.

Dan menurut Hafizh, kehadiran penyokong JDT ke Sepang tidak dilihat sebagai meningkatkan tekanan buatnya, namun memberinya motivasi untuk menampilkan aksi lebih baik.

"Saya amat menghargai jika mereka hadir," kata bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK negara itu.

"Saya gemar melihat bagaimana mereka menyokong pasukan bola sepak JDT jadi saya juga berharap mereka akan datang untuk menyokong pasukan kami pada penampilan pertama kami di kejuaraan ini.

"Tetapi bukan daripada JDT saja, namun saya berharap semua peminat sukan permotoran di Malaysia untuk datang ke Sepang memberikan sokongan kerana ia penting kepada kami," katanya.

Sebagai rekod, Pusingan 5 di Malaysia adalah pusingan kedua terakhir dalam kejuaraan itu sebelum ia menutup tirainya di Litar Buriram, Thailand pada 6 hingga 8 Disember depan.

Selain Hafizh Syahrin, empat lagi pelumba negara bakal mengibarkan cabaran dalam kelas ASB1000 iaitu pelumba berpengalaman Azlan Shah Kamaruzaman (BMW TKKR Racing), Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with Astemo), Kasma Daniel Kasmayuddin (Yamaha Tekhne Racing Team Asian) selain pelumba 'wildcard', Ibrahim Norrodin dari pasukan FGRT Project.