KEJAYAAN Di Jerez 'Bakar' Semangat Qabil Irfan
Selepas mengharungi minggu yang boleh disifatkan 'roller coster', Qabil Irfan, 14 tahun yang mewakili pasukan SIC GYRD Racing menjelaskan dia terpaksa memerah segala keringat dan kepakaran sebelum berjaya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/7/20261 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan bersyukur penantiannya untuk berada di podium Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 berakhir namun mengakui perlumbaan yang diharunginya sebagai amat susah.
Selepas mengharungi minggu 'roller coster', pelumba berusia 14 tahun yang mewakili pasukan SIC GYRD Racing itu menjelaskan dia terpaksa memerah segala keringat dan kepakaran sebelum berjaya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga.
Tiba di Sepanyol pada Khamis dengan saingan bermula pada Jumaat, pelumba kelahiran Terengganu itu tampak bergelut apabila tidak layak secara terus ke Kelayakan 1 (Q2) buat pertama kali musim ini.
Tetapi, Qabil berjaya bangkit apabila menamatkan sesi Q1 Kumpulan B sebagai pelumba terpantas sebelum mendominasi Q2 dan meletakkannya di barisan depan perlumbaan.
Begitupun, kelebihan berada di petak ke-2 tampak tidak memberikan impak yang diharapkan apabila Qabil bergelut untuk mengekalkan posisinya dan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-7 sebelum kemalangan membabitkan pelumba di depannya pada Perlumbaan 2 memberinya penamat podium.
"Syukur Alhamdulillah. Ini adalah podium pertama bagi saya di Moto4 European Cup. Perlumbaan kali ini memang sangat susah, tetapi saya sentiasa memaksa diri dan cuba untuk terus merapati kelompok depan," kata Qabil.
"Selepas dua kali sekadar menamatkan saingan di tempat keempat pada pusingan sebelum ini (di Estoril, Portugal dan Barcelona, Sepanyol), saya sejujurnya sangat gembira kerana akhirnya dapat juga berada di atas podium."
Sedar dengan tahap persaingan yang getir di Eropah, kejayaan di Jerez itu kini menyemarakkan lagi semangat Qabil untuk memburu kedudukan tiga terbaik dunia secara keseluruhan bagi musim ini.
"Memang ada peluang besar untuk saya menamatkan saingan di kelompok tiga teratas kerana jurang mata tidak terlalu jauh. Hanya beberapa mata yang memisahkan saya dengan pelumba di tempat ketiga dari Colombia, Mateo Marulanda (59 mata).
"Saya akan terus bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan dan berharap dapat lebih konsisten bermula dari sesi latihan lagi," kata Qabil.
Ketika ini, Qabil menghuni tangga keenam dengan 51 mata dengan Pusingan 4 dijadual berlangsung di Magny-Cours, Perancis pada 26 Julai ini.

