KEJUARAAN Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024 Buka Tirai Esok, Bakal Hidang Aksi Lebih Mantap!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20241 min read

KEJUARAAN Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024 membuka tirainya, esok Bandar Jasin Bestari, Melaka dengan penganjur menjanjikan aksi yang lebih menarik bakal disajikan musim ini.

Dalam kelas elit CP150, pasukan penyandang juara, Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing kembali dengan mempertaruhkan dua pelumba handalannya Md Akid Aziz and Md Afif Amran.

Menunggang jentera Yamaha Y15ZR, Akid pada musim lalu berjaya memperoleh sembilan kedudukan podium untuk bergelar juara keseluruhan dengan Afif meraih tujuh podium sebagai naib juara.

Mengulas cabaran di Melaka, Akid berkata pelumba seperti Afif, Kasma Danial Kasmayuddin dan Azroy Hakeem Anuar bakal memberikan saingan yang hebat.

"Setiap tahun, merekalah antara pelumba yang kerap meningkatkan tahap cabaran di kategori ini. Tetapi, mungkin juga musim ini berlainan, lebih-lebih lagi dengan pesaing-pesaing yang baharu.

"Pasukan saya juga bekerja keras untuk menyediakan motor yang baik dan selesa serta memperbaiki setiap kekurangan pada motosikal. Kami sentiasa berbincang dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Sementara itu, jagoan Honda, Azroy yang meraih tempat ketiga keseluruhan CP150 musim lalu berkata dia cuba mengekalkan kecergasannya sebaik mungkin bagi menghadapi musim ini.

"Matlamat saya adalah untuk menaiki podium di setiap perlumbaan. Sudah tentu, masih awal untuk berkata tetapi saya jangkakan persaingan kali ini agak sengit kerana ramai pelumba yang hebat di kategori ini.

"Pasukan saya sentiasa memberikan yang terbaik buat semua pelumba dan saya mempercayai kebolehan dan kemahiran pasukan saya 100 peratus. Bagi saya, tiada kelebihan mahupun kekurangan. Cuma, kami harapkan persaingan yang adil bagi semua pihak.”

Saingan CP150 musim ini turut menyaksikan beberapa nama turut naik pangkat daripada kelas CP125 antaranya Md Fareez Afeez (Jetron Yamaha YYPang Racing Team), Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing) dan Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor).