KEJUARAAN RCB MiniMoto 2025 Pusingan 3 Diteruskan Di Tangkak!

Penganjuran Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 membuktikan komitmen RCB dalam menyokong bakat-bakat muda tempatan sekali gus mengangkat nama Malaysia ke pentas permotoran dunia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/25/20251 min read

SAINGAN pencarian bakat cilik sukan permotoran dua roda negara, Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 kembali bagi Pusingan 3 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, hujung minggu ini.

Seperti saingan sebelum ini, Pusingan 3 Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 kali ini turut berlangsung sebagai perlumbaan sokongan kepada siri FIM MiniGP Malaysia, sekali gus menambahkan keterujaan dan nilai kompetitifnya.

Selepas 2 pusingan yang berlangsung di Litar Horizon, Beranang, Selangor, segenap tumpuan pastikan tertumpu kepada persaingan dua pelumba - Adra Mikayla dan Fayyadh Anaqi yang sedang bersaing sengit dalam kejuaraan ketika ini.

Pada aksi di Beranang, Mikayla mengejutkan ramai apabila berjaya mengalahkan Fayyadh untuk memenangi Perlumbaan 1, sebelum Fayyadh bangkit dengan kemenangan bergaya dalam Perlumbaan 2.

Apa yang menarik, kehadiran Adra membawa signifikan besar buat kejuaraan berikutan penampilannya sebagai pelumba perempuan termuda yang bersaing dengan pencapaiannya membuka ruang dan menjadi inspirasi buat pelumba wanita lain untuk menceburi arena yang sebelum ini didominasi oleh lelaki.

Begitupun disebabkan had umur yang ditetapkan dalam peraturan teknikal kejuaraan, Adra tidak akan meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya. Dan kejayaannya walaupun singkat, meninggalkan impak besar kepada masa depan penyertaan pelumba wanita dalam perlumbaan junior.

Di Tangkak nanti, Fayyadh dijangka akan mendapat cabaran daripada Wan Haqim Al Mahdi dan Raqib Rozman yang masing-masing meraih tempat ketiga di Beranang. Mereka menunjukkan kemahiran perlumbaan yang tajam dan dijangka memberi cabaran kepada kelompok hadapan di Tangkak.

Secara keseluruhan, seramai 15 pelumba disahkan bakal bertanding di Tangkak dengan persaingan dijangka menyajikan drama dan aksi mendebarkan.

Sebagai info, RCB menerusi inisiatif MiniMoto bukan hanya membina pelumba, tetapi juga mendidik generasi muda tentang kepentingan kemahiran, disiplin dan aspek keselamatan dalam perlumbaan.

Dengan memperkenalkan nilai-nilai profesional dari usia muda, RCB percaya generasi pelumba masa depan Malaysia mampu dilahirkan daripada program ini.