KEJUTAN F1, Lewis Hamilton Tinggalkan Mercedes AMG Petronas Sertai Ferrari 2025

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

2/2/20241 min read

LEWIS Hamilton sah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG Petronas pada penghujung musim ini dan menyertai Ferrari untuk musim 2025.

Juara dunia tujuh kali F1 itu akan menggantikan tempat Carlos Sainz yang disingkirkan dan akan bergandingan dengan Charles Leclerc.

Perkembangan itu diumumkan oleh Mercedes dan Ferrari dalam satu kenyataan berasingan, hari ini.

Bergelar antara pelumba paling berjaya dalam sejarah F1 dengan merekodkan 103 kemenangan dan 104 petak utama, keputusan itu menyaksikan Hamilton menyertai pasukan yang dianggap paling berjaya dalam sukan berkenaan.

Hamilton, 39 tahun sebelum ini kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Ferrari namun ia tidak menjadi kenyataan.

Ferrari dalam kenyataan ringkas berkata kontrak pelumba Britain berkenaan membabitkan 'beberapa tahun' dengan kontrak asalnya bersama Mercedes dijadual berakhir pada 2025.

Kali terakhir menjulang gelaran dunia pada 2020, perpindahan Hamilton ke Ferrari boleh dianggap paling mengejutkan dalam sejarah sukan berkenaan.

Hamilton pada tahun ini akan sekali lagi memburu gelaran dunia kelapannya selepas beberapa tahun dikecewakan pelumba Red Bull, Max Verstappen.