KEJUTAN HLYM, Yamaha Y16ZR-R (2026) Terjah Pasaran Malaysia, RM 10,888!

Seperti Yamaha Exciter 155 TCS, Yamaha Y16ZR-R (2026) yang mendapat perubahan rekaan besar-besaran turut disuntik dengan beberapa penambahbaikan teknologi dan ciri premium bagi menjadikannya lebih menarik

PELANCARAN

8/9/20262 min read

TAK sampai sebulan selepas membuat kemunculan sulung global di Vietnam dengan nama Yamaha Exciter 155 TCS, model 'Supermoped' sensasi pengeluar Jepun itu kini mendarat secara rasmi di pasaran Malaysia dengan lencana baharu, Yamaha Y16ZR-R (2026).

Dan seperti Yamaha Exciter 155 TCS, Yamaha Y16ZR-R (2026) yang mendapat perubahan rekaan besar-besaran turut disuntik dengan beberapa penambahbaikan teknologi dan ciri premium bagi menjadikannya lebih menarik.

Paling mencuri tumpuan, Yamaha Y16ZR-R (2026) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi moped Yamaha pertama yang dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang sekali gus memberikan keyakinan dan cengkaman optimum terutamanya ketika menunggang di atas permukaan jalan basah atau licin.

Sebelum pergi lebih jauh, tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia bersama varian tunggal dengan harga jualan asas RM 10,888.

Pilihan warna yang tersedia adalah:

  • Kouka Grey

  • Raijin Green

  • Yoru Black

Ulas rekaan - yang mencetus pelbagai reaksi - rekaan serba baharu Yamaha Y16ZR-R (2026) jelas tampak lebih tajam, aerodinamik dan kompak.

Biarpun ia mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat pemotoran tempatan, garisan badannya jelas menyerlahkan karakter jentera yang agresif. Turut mengalami perubahan adalah 'wajah' depannya yang tidak lagi seperti robot.

Di bahagian trenkuasa, Yamaha Y16ZR-R (2026) dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, Fi, SOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 18.5 Hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,500 rpm. Sebagai perbandingan, angka kuasa versi sebelum ini adalah 17.7 Hp dan peningkatan angka itu diperoleh hasil peningkatan nisbah mampatan kepada 11.6:1.

Selain itu, sistem transmisi menerima talaan baharu dengan saiz sproket belakang lebih besar daripada 46T kepada 48T sekali gus memberikan tujahan yang lebih pantas tanpa mengorbankan kelajuan maksimum.

Yamaha dalam pada itu melakukan talaan bunyi pada sistem kemasukan angin Yamaha Y16ZR-R (2026) membabitkan pembangunan bentuk khas pada kotak angin serta lubang bagi menyampaikan bunyinya kepada penunggang.

Pembaharuan lain adalah seperti panel meter digital LCD yang paparan baru dan memiliki ciri sambungan ke telefon pintar menerusi bluetooth kepada aplikasi baru yang dipanggil sebagai Y-On.

Fungsi Y-On sama seperti Y-Connect dengan boleh memberi akses kepada notifikasi mesej dan panggilan, waktu penyelenggaraan, data laluan dan penggunaan bahan api serta kedudukan terakhir motosikal.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 267 mm dengan kaliper 2 piston dan cakera tunggal (belakang). Suspensi dijana fork teleskopik (konvensional) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Info lain:

  • Set roda 90/80-17 (depan), 120/70-17 (belakang)

  • Tangki Bahan Api 5.4 liter

  • Berat 124 kg