KEJUTAN Voge Malaysia, Tayang Voge SR450X Di MotoXperience, RM 29,888!

Selain enjin 2 Silinder, Voge SR450X juga sarat dengan ciri teknologi terkini antaranya penggunaan sistem kunci pintar, cermin penghadang angin elektrik, pemanas pelana, pemanas genggaman dan kamera papan pemuka (depan/belakang) secara standard

PELANCARAN

5/29/20261 min read

VOGE Malaysia memastikan Malaysia menjadi antara pasaran terawal untuk mendapatkan skuter 'viral' jenama itu, Voge SR450X di peringkat global apabila mengumumkan tanda harga jualannya - RM 29,888!

Seperti biasa, angka harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Malah, skuter yang dipacu enjin 2 silinder - sesuatu yang cukup menarik - turut sempat hadir ke acara MotoXperience sempena Malaysia Bike Show (MBS) 2026 sekali gus menjadi penampilan pertamanya di rantau ini.

Seperti diketahui, VOGE memperkenalkan Voge SR450X yang bergaya 'Adventure' ketika pameran EICMA tahun lalu. Dan seperti dijangka, ia pantas mencuri perhatian termasuk di pasaran Malaysia.

Dan pentas skuter berkenaan di Hall A, Maeps, Serdang sememangnya menjadi tumpuan ramai.

Tidak seperti kebanyakan pencabar dalam segmen sama, Voge SR450X dipacu oleh enjin bersesaran 398 cc, 2 Silinder, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 41.85 Hp pada 8,000 rpm serta tork 44 Nm pada 5,750 rpm.

Apa yang menarik, konfigurasi 2 silinder ini memberikan kelebihan ketara dari segi kelancaran penghantaran kuasa, menjadikannya responsif ketika mengharungi kesesakan trafik di ibu kota, namun tetap bertenaga untuk pemanduan santai atau 'touring' di lebuh raya pada hujung minggu.

Ia dilengkapi rim lidi tanpa tiub bersaiz 17 inci di hadapan dan 14 inci di belakang.

Penggunaan tayar 'semi-knobby' turut mengesahkan kemampuannya untuk melayan laluan 'off-road' ringan dan menambahkan lagi ciri kembara, jentera ini didatangkan standard dengan pelindung bar besi.

Suspensi menggunakan fork depan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak kembar KYB (belakang) dengan ciri boleh laras.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan/belakang) dengan kaliper J.Juan yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan turut dilengkapi Kawalan Cengkaman (TCS).

Sebagai pelengkap kepada gaya hidup moden, Voge SR450X juga sarat dengan ciri teknologi terkini antaranya penggunaan sistem kunci pintar, cermin penghadang angin elektrik, pemanas pelana, pemanas genggaman dan kamera papan pemuka (depan/belakang) secara standard.

Dan turut menarik perhatian adalah ruang simpanan bawah pelana yang luas dan dikatakan mampu memuatkan dua topi keledar sekaligus.

Ciri-ciri lain adalah seperti sistem lampu LED penuh, tinggi pelana 795 mm, jarak lega bumi 180 mm dan berat 220 kg.