KEKAL Dalam Katalog BSH, Honda RS150R (2024) Dapat Warna Baharu, Harga Tak Berubah RM 8,299 (asas)

TERKINI

11/23/20231 min read

PERTAMA kali diperkenalkan pada tahun 2016, Honda RS150R terus kekal berada dalam katalog Boon Siew Honda (BSH) dan diberikan 'kesegaran' bagi model 2024 menerusi pilihan warna baharu.

Dua pilihan warna baharu diberikan BSH untuk motosikal 'Super moped' itu iaitu Mat Gray & Yellow dan Mat Gray & Red.

Seperti 'Saudaranya' Honda RS-X (2024), Honda RS150R dalam warna baharu ini akan tersedia di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 24 November 2023 (esok).

Dan harga jualan yang diumumkan adalah RM 8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Mengulas ringkas spesifikasi, Honda RS150R (2024) dijana enjin bersesaran 149.2 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 11.8 kW pada 9,000 rpm dan tork 13.6 Nm pada 7,000 rpm.

Menurut BSH, Honda RS150R yang mendapat kemas kini pada 2019 dan kekal dengan 'rupa' berkenaan sehingga kini berupaya memberikan tunggangan yang sangat baik sama ada di lebuh raya atau di bandar.

Ciri-ciri menarik lain termasuk lampu depan LED, panel meter digital penuh dan brek cakera depan dan belakang.

Seperti biasa, Boon Siew Honda menawarkan jaminan pembuatan selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, mana yang terdahulu.