KEKAYAAN Marc Marquez RM 372.48 juta - Laporan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/23/20241 min read


MARC Marquez dilaporan mempunyai kekayaan bernilai € 80 juta (RM 372.48 juta), lapor media Sepanyol, La Vanguardia.
Seperti dilaporan oleh majalah Forbes, juara dunia lapan kali itu memang disenarai antara atlet terkaya di Sepanyol pada tahun 2024.
Sekalipun kekayaan yang dimiliki tidak membuatkan Marquez berada dalam senarai 100 individu terkaya di Sepanyol, pelumba yang menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu berada dalam senarai atlet terkaya negara tahun ini.
Dan kekayaan yang dimiliki bekas pelumba Repsol Honda itu meletakkannya di kedudukan keempat dalam senarai atlet terkaya di Sepanyol di belakang bintang bola sepak, Andres Iniesta dan Sergio Ramos, masing-masing memiliki € 100 juta (RM 465.57 juta).
Manakala atlet terkaya di Sepanyol dipegang bintang tenis, Rafael Nadal yang memiliki kekayaan € 310 juta (RM 1.44 bilion).
Menurut laporan itu, kekayaan Marquez kebanyakan diperoleh daripada penajaan, khususnya daripada minuman syarikat tenaga Red Bull.
Antara pelumba bintang di MotoGP ketika ini, Marquez meninggalkan kontrak lumayan pada penghujung musim 2023 dengan meninggalkan Repsol Honda untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing.
Bersama Repsol Honda, Marquez dikatakan menerima gaji sekitar € 15 juta (RM 69.83 juta) ke € 20 juta (RM 93.11 juta) setahun.
Begitupun apa yang menarik, keputusan meninggalkan Honda dikatakan tidak begitu menjejaskan nilai kekayaannya secara keseluruhan dan keputusannya tampak berbaloi apabila dia direkrut pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bagi musim 2025.
Setakat ini, tiada pendedahan yang dibuat mengenai kontrak membabitkan gaji Marquez bersama Ducati tetapi apa yang pasti, dia bukan penerima gaji tertinggi di grid.
Difahamkan, pelumba yang memiliki gaji paling lumayan di grid MotoGP ketika ini adalah juara dunia 2021, Fabio Quartararo € 12 juta (RM 55.86 juta) setahun yang diperoleh selepas menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha.
