KELAJUAN Honda CBR600RR Tak Cukup Kompetitif - KIP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/23/20241 min read

MENAMATKAN perlumbaan di kedudukan ke-28 dalam aksi di Catalunya, Barcelona, Sepanyol jelas mengecewakan pelumba negara di WSBK 2024 dalam kelas WorldSSP, Khairul Idham Pawi.

Mengulas mengenai prestasi buruk yang ditampilkan itu, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda dan menunggang Honda CBR600RR itu menjelaskan jenteranya berdepan beberapa isu yang menghalangnya daripada menjadi kompetitif.

Ia termasuk masalah elektronik selain isu yang pernah dibangkitkan ketika hari pertama di Barcelona iaitu cengkaman tayar belakang selain kelajuan yang dimiliki jentera SuperSport itu.

"Ketika sesi pemanas badan kami berdepan dengan isu elektronik yang menghalang saya daripada melakukan banyak perkara ketika sesi berkenaan," katanya yang lebih dikenali sebagai KIP.

"Kemudian pada Perlumbaan 1, saya bergelut dengan cengkaman (tayar) belakang, tetapi kelajuan kami secara keseluruhan turut menghalang kami daripada menjadi lebih kompetitif.

"Kami jelas akan melakukan perubahan pada Perlumbaan 2, untuk cuba mempertingkatkan tayar belakang dan berharap ia akan kurang berpusing dan lebih memberi tujahan.

"Kami akan terus berusaha dan saya akan cuba melakukan yang terbaik sekali lagi pada Perlumbaan 2."

Selain KIP, turut berdepan masalah membabitkan tayar adalah rakan sepasukannya, Kaito Toba yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-25.

Perlumbaan 1 WorldSSP di Catalunya dimenangi pelumba Sepanyol, Adrian Huerta dari pasukan Aruba.IT Racing Ducati manakala Stefano Manzi (Ten Kate Racing Yamaha) di tangga kedua dan Marcel Schrötter (MV Agusta Corse Clienti) melengkapkan podium.