KEMARAU Kemenangan Lebih 1,000 Hari, Marc Marquez Tak Kisah Tak Menang Tahun Ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/20/20241 min read


KALI terakhir juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez merasai nikmat kemenangan di MotoGP adalah lebih daripada tiga tahun lepas atau kira-kira 1,000 hari lalu pada Grand Prix (GP) Misano 2021.
Menukar jenteranya daripada Honda ke Ducati dengan harapan 'kemarau' itu dapat ditamatkan, tetapi ia masih belum kesampaian selepas 11 pusingan kempen 2024 berlangsung.
Menggambarkan GP Austria 2024 minggu lalu sebagai antara minggu terbaik, pelumba kelahiran Sepanyol itu dipalit malang apabila terjatuh pada Perlumbaan Sprint dan berdepan isu mekanikal pada Perlumbaan GP.
Tetapi dengan kontrak 'kilang' Ducati pada musim depan sudah pasti menjadi miliknya, Marquez menegaskan aksinya bersama Gresini Ducati dan menggunakan jentera GP23 sebagai medan pembelajaran dan seperti tidak begitu bimbang jika kemenangan tidak dicapai pada tahun ini.
"Bagi saya, ia (kemarau kemenangan) tidak penting," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Saya tahu pada tahun ini adalah tahun untuk menyesuaikan diri dan saya sedang melakukannya.
"Saya mencubanya langkah demi langkah. Benar yang kami memulakan musim ini dengan cukup bagus, kemudian ia nampak seperti sedikit ke belakang dan ketika ini, kami sekali lagi bangkit.
"Pada baki separuh musim ini kami perlu turus bekerja keras dan cuba untuk berada di podium. Dan kemenangan, jika tidak dapat pada tahun ini, tahun depan ia akan tiba.
Ketika bersama Repsol Honda, Marquez secara purata merangkul lapan kemenangan semusim sejak debutnya di MotoGP pada 2013 sebelum berdepan kemalangan teruk pada 2020 di Jerez.
Pada musim ini, kedudukan terbaik diraih Marquez adalah di tempat kedua pada Perlumbaan GP yang diperolehnya sebanyak tiga kali di GP Sepanyol, GP Perancis dan GP Jerman.
