KEMBALI Ke Honda? Ini Jawapan Marc Marquez
Seperti diketahui, Marc Marquez menghabiskan sebahagian besar karier MotoGP bersama Honda sejak debut pada 2013 dengan menjulang enam gelaran dunia dalam tujuh musim sehingga 2019
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/29/20251 min read


JUARA dunia MotoGP 2025, Marc Marquez, menegaskan kemungkinan kembali bersama Honda pada musim 2027 masih 'lebih teori daripada realiti', sambil menekankan keputusan masa depannya akan dibuat secara 'mementingkan diri' demi kelangsungan kariernya.
Di usia 32 tahun, juara dunia sembulan kali itu berkata dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan ketika masih dalam fasa pemulihan kecederaan, malah hanya akan bertindak apabila gambaran jelas sudah diperoleh.
"Saya tidak akan buat keputusan ketika cedera atau tanpa berada di atas jentera. Penting untuk saya fikirkan diri sendiri. Pada 2027, tiada siapa boleh jamin jentera yang terbaik. Semuanya terbuka, dan anda perlu percaya pada naluri,” katanya pada satu acara membabitkan penajanya, baru-baru ini.
Marquez menghabiskan sebahagian besar karier MotoGP bersama Honda sejak debut pada 2013 dengan menjulang enam gelaran dunia dalam tujuh musim sehingga 2019.
Tetapi, prestasi pelumba asal Sepanyol itu merudum yang menyaksikannya terpaksa meninggalkan pengeluar gergasi Jepun itu pada penghujung 2023.
Langkah berani menyertai Gresini Racing dengan jentera Ducati versi 2023 pada musim 2024 membuahkan hasil apabila Marquez meraih tiga kemenangan, sebelum dinaikkan ke pasukan kilang Ducati pada 2025.
Dan keputusan itu jelas berbaloi yang menyaksikan Marquez merangkul gelaran dunia MotoGP ke-7 pada musim ini.
Begitupun, kontraknya bersama Ducati akan berakhir hujung tahun depan ketika pasaran pelumba dijangka panas menjelang perubahan besar peraturan 2027.
Honda pula selepas ditinggalkan Marquez melalui detik sukar, namun berjaya bangkit dengan menggunakan kelebihan konsesi. Pasukan itu mencatat satu kemenangan dalam perlumbaan basah pada musim ini serta tiga podium perlumbaan kering.
Kemajuan itu menjadikan Honda antara nama besar dalam pasaran pelumba 2027, dengan beberapa bintang sudah dikaitkan.
Tetapi bagi Marquez, segala kemungkinan masih terbuka dan menegaskan keputusan akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan peribadi, bukan nostalgia.
"Saya berada di kemuncak semula, jadi masa ini penting untuk buat keputusan tepat. Ia perlu pentingkan diri, demi diri saya,” katanya.

