KEMBAR Harley-Davidson X440, Hero Mavrick 440 Dilancar, RM 11.4k!

TERKINI

2/16/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal gergasi India, Hero akhirnya memberikan tanda harga kepada Hero Mavrick 440 (2024), model yang boleh disifatkan 'kembar' kepada Harley-Davidson X440, baru-baru ini.

Kepada yang mengikuti perkembangan membabitkan dunia automotif terutama dua roda, Hero dan syarikat pengeluar motosikal Amerika Syarikat, Harley-Davidson (HD) sebelum ini menjalin kerjasama untuk menghasilkan Harley-Davidson X440.

Dan seperti dalam kerjasama berkenaan, Hero turut mengeluarkan model yang menggunakan platform sama yang dikenali sebagai Hero Mavrick 440 (2024).

Seperti Harley-Davidson X440, Hero Mavrick 440 dijana enjin bersesaran 440 cc, 1 Silinder, Penyejuk Udara/Minyak dan dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper.

Kuasa yang dihasilkan adalah setinggi 26 Hp pada 6,000 rpm dan tork 36 Nm pada 4,000 rpm.

Apa yang menarik, Hero mendakwa 90 peratus daripada tork model berkenaan tersedia seawal 2,000 rpm.

Begitupun dengan angka berkenaan, tork puncak Mavrick 440 lebih rendah berbanding Harley-Davidson X440 yang turut dikenali 'Baby HD'.

Berdasarkan perbandingan, ciri-ciri menarik yang ada pada Hero Mavrick 440 lebih sedikit berbanding HD X440 namun ia tetap menjadi model termahal Hero ketika ini.

Antaranya adalah menerusi penggunaan fork teleskopik konvensional serta penggunaan rim bersaiz 17 inci untuk kedua-dua roda.

Bercakap mengenai harga, tiga varian tersedia untuk Hero Mavrick 440 (2024) iaitu Base, Mid dan Top yang memiliki pilihan warna dan harga yang berbeza dengan perincian seperti berikut.

  • Hero Mavrick 440 (2024) Base: Rs 1.99 lakh (RM 11,451)

Warna: Artic White (Rim Jejari)

  • Hero Mavrick 440 (2024) Mid: Rs 2.14 lakh (RM 12,321)

Warna: Fearless Red, Celestial Blue (Rim aloi)

  • Hero Mavrick 440 (2024) Top: Rs 2.24 lakh (RM 12,897)

Warna: Phantom Black, Enigma Black (Rim Aloi/Sambungan Bluetooth)

Sekalipun tempahan untuk Hero Mavrick 440 (2024) sudah dibuka, penghantaran pertama dijadual bermula pada pertengahan April depan.

Di Malaysia, berdasarkan informasi, Harley-Davidson Malaysia dikatakan tidak berminat untuk membawa model-model hasil kerjasama ini ke pasaran tempatan.