'KEMBAR' Yamaha Y16ZR Bakal Dilancar Di Indonesia, Imej Paten Dah Terdedah!

TERKINI

1/15/20241 min read

SELEPAS sekian lama menunggu, penantian peminat 'kapcai' terutama 'Super moped' Yamaha Y16ZR di Indonesia dikatakan bakal berakhir susulan tertirisnya imej paten model motosikal itu di negara berkenaan.

Menurut laporan media berkaitan automotif di seberang, selain imej paten, turut tertiris adalah daftar paten motosikal berkenaan yang dibuat di Direktorat Jenderal Kekayaan Intelektual Indonesia.

Dalam informasi yang dikongsikan juga, permohonan daftar paten itu dibuat pada 27 Oktober tahun lalu dan menariknya, ia sudah pun diluluskan.

Tidak seperti di Malaysia, Yamaha Motor Indonesia menamakan Yamaha Y15ZR sebagai Yamaha MX King 150. Justeru, Yamaha Y16ZR berkemungkinan besar akan dinamakan sebagai Yamaha MX King 155.

Sebagai info, sekalipun menjadi antara negara pengguna motosikal/skuter terbesar dunia, populariti dalam segmen 'Kapcai' tidak begitu tinggi di Indonesia.

Justeru, boleh difahami mengapa ia tidak dilancarkan lebih awal atau setidak-tidaknya pada jurang waktu yang terlalu jauh selepas pelancarannya di Vietnam, Thailand, Malaysia mahupun Filipina.

Mengulas ringkas, Yamaha Y16ZR dipadankan dengan enjin dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 17,9 PS pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

Kepada yang tidak tahu, Vietnam menjadi negara debut global untuk Yamaha Y16ZR diikuti beberapa lagi negara termasuk Malaysia.

Dan perkembangan terbaharu, motosikal berkenaan sudah pun mendapat kemas kini yang menyaksikan sistem brek depan sudah pun dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Di Malaysia, Yamaha Y16ZR dilaporkan akan mendapat kemas kini yang sama seperti di pasaran Vietnam iaitu ABS tetapi sehingga kini, tiada maklumat rasmi daripada pengedarnya Hong Leong Yamaha Motor.