KEMBAR Yamaha Y16ZR, Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Dah Ada ABS, Malaysia Bila?

TULAR

9/20/20232 min read

SATU perkembangan mengujakan diperoleh di Vietnam membabitkan kembar 'kapcai' handalan Yamaha di Malaysia, Yamaha Y16ZR iaitu Yamaha Exciter 155 VVA yang menyaksikan versi terbaharu model berkenaan kini sudah dipadankan dengan ABS atau Sistem Brek Anti-Kunci.

Selain peningkatan dari sudut sistem brek itu, turut dikemaskini adalah corak grafik dan pilihan warna.

Secara keseluruhan, terdapat lima varian Yamaha Exciter 155 VVA (2024) di pasaran Vietnam.

Begitupun, hanya tiga varian dilengkapkan dengan ABS dengan perincian adalah seperti berikut.

  • Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Standard Version-Non-ABS

  • Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Premium Version-Non-ABS

  • Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Premium Version-ABS

  • Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Limited Edition GP-ABS

  • Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Limited Edition Monster Energy MotoGP-ABS

Begitupun, ABS yang dibekalkan kepada Yamaha Exciter 155 VVA (2024) hanya di brek depan (saluran tunggal).

Tetapi dipadankan kaliper dua piston dengan saiz cakera 267 mm, ia memang meningkatkan sepenuhnya prestasi membrek motosikal berkenaan.

Sebagai negara debut global Yamaha Exciter 155 VVA, pilihan warna untuk motosikal ini di Vietnam memang 'meriah'.

Untuk Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Standard Version-Non-ABS, tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Black-Grey, Red-Gray dan Yellow-Grey. Harga jualannya adalah 48,000,000 VND (RM 9,213).

Bagi Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Premium Version-Non-ABS, pilihan warna yang ditawarkan juga tiga iaitu - Black-Brown, Red dan Green bersama harga jualan 51,000,000 VND (RM 9,788).

Empat pilihan warna untuk varian Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Premium Version-ABS iaitu Black, Green, Blue-Grey dan White-Black bersama harga 54,000,000 VND (RM 10,363).

Dan untuk Yamaha Exciter 155 VVA (2024) Limited Edition GP-ABS dan Limited Edition Monster Energy MotoGP-ABS, pilihan warna yang ditawarkan adalah tunggal iaitu Green GP dan Blue-Black bersama harga 55,000,000 VND (RM 10,555).

Selain kemas kini dari sudut brek, corak grafik dan warna, tiada perubahan lain dibuat terhadap motosikal berkenaan terutama dari sudut spesifikasi trenkuasa.

Justeru, ia kekal dengan enjin 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang digandingkan dengan kotak gear 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac Assist & Slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah 17.7 Hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

Dengan pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA (2024) lengkap dengan ABS di Vietnam, apa yang boleh dijangkakan adalah Yamaha Y16ZR di pasaran Malaysia berkemungkinan besar akan mendapat kemas kini sama.

Tetapi setakat ini, ia masih berstatus jangkaan dan kita nantikan perkembangan lanjut dari pihak Hong Leong Yamaha Motor sendiri.