YAMAHA seperti dijangka memperkenalkan generasi terbaharu motosikal 'Sportbike' popularnya, Yamaha YZF-R3 (2025) yang kini tampil dengan rekaan didakwa lebih menarik mengikuti 'lenggok' 'saudaranya' dalam segmen 'R' yang lain.
Terkenal sebagai antara motosikal permulaan kepada mereka yang meminati segmen 'Sportbike', seperti diketahui ia mempunyai 'kembar' di beberapa pasaran termasuk Malaysia iaitu R25.
Begitupun, Yamaha masih belum mengumumkan perubahan untuk R25 tetapi menurut jangkaan, ia berkemungkinan tidak mengambil masa yang lama.
Berbalik kepada Yamaha YZF-R3 (2025), rekaan yang ditampilkan tampak lebih 'bersih' agresif dan moden yang dalam bahasa mudahnya, lebih sedap mata memandang.
Paling menarik selain rekaan panel yang lebih bersegi pastinya di bahagian lampu utama yang kini mengikuti 'saudaranya' yang lain dan diposisinya di bahagian tengah dan diapit lampu siang (DRL) yang lebih ramping dan 'menjeling'.
Tetapi sekalipun pelbagai pembaharuan yang dibuat, menurut Yamaha ketinggian pelana serta posisi tunggangan dikatakan tidak mengalami perubahan dengan rekaan baharu itu turut didakwa meningkatkan kecekapan aerodinamiknya pada kelajuan tinggi.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha YZF-R3 (2025) dijana enjin bersesaran 320 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.
Seperti sebelum ini, ia turut dilengkapi dengan klac Assist & Slipper bersama sistem transmisi 6 kelajuan klac manual.
Dan kuasa yang dihamburkam adalah 35 Hp pada 12,000 rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm.
Untuk suspensi, ia dijana jenama daripada KYB (depan dan belakang) dan kekal dengan 'setup' brek yang sama iaitu cakera 298 mm bersama kaliper dua piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm kaliper 1 piston (belakang).
Direka untuk menjadi 'Sportbike' yang ringan dan dipermudahkan, antara yang baharu untuk Yamaha YZF-R3 (2025) adalag panel baharu LCD yang lebih besar malah turut memiliki ciri sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Yamaha Y-Connect.
Ia seperti diketahui membolehkan penunggang melihat notifikasi panggilan masuk, e-mel dan mesej terus pada panel meter selain memantau data tunggangan seperti penggunaan bahan api, jarak perjalanan dan pelbagai lagi.
Selain itu, turut tersedia adalah port USB-A dan ciri lampu LED penuh.
Di pasaran global, pilihan warna yang ditawarkan untuk Yamaha YZF-R3 (2025) adalah tiga iaitu Yamaha Blue, Matte Stealth Black dan Lunar White/Nebular Blue.