KEMENANGAN Di Catalunya Lonjak Semangat Qabil Irfan Hadapi Estoril
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/29/20241 min read


KEMENANGAN di Catalunya, Sepanyol pada Pusingan 4 Moto4 ESBK 2024 jelas melonjakkan semangat pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan bagi menghadapi aksi pusingan seterusnya di Estoril, Portugal minggu ini.
Beraksi bersama pasukan Frando VHC Team Liqui Moly, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan penantiannya untuk bergelar pemenang perlumbaan selepas menjuarai Perlumbaan 2 di Catalunya.
Begitupun, kemenangan yang diraih Qabil Irfan jelas bukan mudah dan perlu ditentukan dengan keputusan 'photo finish' dan dibezakan 0.003 saat di belakang pemenang tempat kedua, Eric Ruz dari Sepanyol.
Kembali ke Malaysia selepas aksi di Sepanyol, pelumba berusia 12 tahun itu terus gigih menjalani latihan terutama membabitkan kecergasan dan skil tunggangan sebagai persiapan menghadapi Estoril.
"Selepas selesai pusingan 4 di Catalunya, saya berlatih tunggangan dan juga kecergasan secara berterusan di Terangganu dan juga Sepang untuk persedian pusingan 5 di Estoril," kata Qabil Irfan.
"Pada pusingan ini sasaran saya akan berusaha untuk berada di kelompok hadapan. Saya harap pusingan ini lebih baik dan saya akan berusaha untuk podium pada tahun ini."
Selepas empat pusingan, Qabil Irfan ketika ini menghuni kedudukan ke-4 keseluruhan carta perlumbaan Moto4 ESBK 2024 selepas mengumpul keseluruhan 108 mata.
Carta teratas dihuni pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza dengan mengumpul 163 mata diikuti Leonardo Casadei (139 mata) dan Eric Ruz 123 mata.
