KEMENANGAN Di Mugello Sama Seperti Qatar - Marc Marquez
Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez menyifatkan kemenangan di Grand Prix (GP) Itali di Mugello sebagai 'tidak dijangka', sama seperti kejayaan yang diperoleh di Qatar pada April lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/22/20251 min read


MARC Marquez menggambarkan kemenangan di Grand Prix (GP) Itali di Mugello sama seperti kejayaan yang diperoleh di Qatar sebelum ini iaitu 'tak dijangka'.
Sebagai pelumba yang memiliki lapan gelaran dunia termasuk enam di MotoGP, kali terakhir pelumba Ducati Lenovo itu menang di Mugello adalah pada 2014.
Justeru, Mugello yang juga laman sendiri buat Ducati Lenovo disifatkan sebagai gelanggang yang sukar buatnya - sama seperti Losail yang menyaksikannya turut melakar kemenangan berganda pada April lalu.
"Saya menilai perlumbaan pada minggu ini sama seperti Qatar, kemenangan yang tidak dijangka," kata Marquez ketika diminta menilai kedua-dua gelanggang berkenaan.
"Ia adalah litar di mana saya normalnya perlu bertahan, tetapi saya mampu menyerang malah mengambil lebih mata berbanding Alex (Marquez), yang ketika ini adalah pencabar utama kerana dia terlalu konsisten, amat laju dan mempunyai kukuatan yang hebat terutama di selekoh kanan pantas."
Marquez dalam pada itu mengakui terpaksa bekerja lebih keras daripada kebiasaan khususnya pada awal perlumbaan berikutan 'bencana' yang diperolehnya di Jerez.
"Saya bernafas lebih daripada normal kerana di Jerez saya terjatuh pada pusingan kedua, ketiga," kata Marquez kepada MotoGP.
"Jadi hari ini saya hanya mengulangi dalam minda saya 'perlumbaan amat panjang.' Dengan cara seperti ini, saya cuba berada di dalam pertarungan kerana sasaran saya adalah untuk memimpin perlumbaan, tetapi pada masa sama saya cuba menguruskan tayar.
"Jadi saya lihat Pecco memberikan tekanan kepada tayarnya dengan amat banyak dan saya berkata, 'Ok, ayuh lihat apa yang saya boleh lakukan'.
"Tetapi kemudian Alex memintas kami, kemudian saya faham yang Alex mempunyai rentak kelajuan yang berbeza. Dan selepas saya berada di belakangnya saya hanya menunggu sehingga pertengahan perlumbaan apabila saya mula merasa lebih baik."
Marquez melakar kemenangan ke-93 kariernya selain meningkatkan jurangnya di carta pendahulu kedudukan pelumba kepada 40 mata di depan adiknya, Alex.
