'KEMENANGAN GP Perancis Adalah Magis'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/12/20252 min read

JOHANN Zarco memahat namanya dalam sejarah sukan permotoran Perancis apabila menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix Perancis 2025 di Le Mans, kejayaan yang kali terakhir dilakar pelumba tuan rumah pada 1954.

Perlumbaan di Le Mans, semalam bolah disifatkan sebagai cukup menarik dan dihiasai pelbagai drama susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Dan sekalipun hampir terjatuh susulan kemalangan di awal perlumbaan, taktikal yang digunakan pelumba LCR Honda itu jelas membuahkan hasil sekali gus memberikan Zarco kemenangan kedua kariernya di MotoGP.

"Saya merasa amat istimewa dan bangga, kerana saya menggemari sejarah motosikal dan untuk berada di dalamnya sebagai pelumba Perancis menjuarai GP Perancis, ia adalah magis," kata Zarco.

"Saya sentiasa berusaha bersunguh-sungguh, berharap yang saya akan memenangi perlumbaan atau berada di podium. Tetapi hari ini juga adalah mengenai pemilihan tayar basah."

Mengulas perlumbaan, Zarco berkata sekali pun keadaan litar kering di awal perlumbaan, dia mengetahui hujan akan terus turun.

"Saya kehilangan banyak masa disebabkan permulaan itu, kerana saya tidak mahu menggunakan sebarang perkakasan elektronik," kata Zarco.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menekan brek di selekoh pertama, jadi saya memilih jalan selamat tetapi saya kehilangan banyak masa pada permulaan.

"Saya cuba menggunakan garisan luar pada 'chicane' pertama kerana banyak perkara boleh berlaku di bahagian tengah. (Joan) Mir mengangkat jenteranya dan saya melanggarnya.

"Malah saya kehilangan cengkaman di bahagian kiri belakang dan terus ke bahagian kerikil. Tetapi ia tidak mengapa, bar hendal saya sedikit rosak tetapi ia masih boleh ditunggang, dan sejak itu, saya berkata, kamu sudah kehilangan banyak benda. Kini tunggu dan lihat. Itulah situasi pada pusingan pertama."

Zarco berkata, dia mula merasa mampu meraih kemenangan apabila pelumba Australia, Jack Miller terjatih.

"Saya bimbang bila Marc (Marquez) menukar kepada tayar basah kerana pada awalnya dia lebih pantas berbanding saya. Tetapi saya fikir dia juga sudah mencapai had dengan tayar ini dan tidak boleh terus menekan dan jurang yang saya ada cukup besar untuk mengawal perlumbaan," kata Zarco yang melepasi garisan penamat 19 saat di depan Marquez.

"Menakjubkan. Kadang kala kamu perlu mengejar kemenangan. Tetapi hari ini (semalam) saya perlu menunggu beberapa pusingan untuk mendapat kemenangan ini. Jadi ia amat istimewa."

Zarco meraikan kejayaannya dengan melakukan lompatan ke belakang selepas perlumbaan.

"Ibu saya tidak pernah berada di perlumbaan sepanjang 17 tahun saya berlumba," katanya. "Saya berkata, saya fikir baik untuk kamu datang dan melihat GP Perancis kerana suasananya menakjubkan.

"Saya fikir saya sudah melihat segala-galanya pada minggu ini untuk memberitahu keluar dan rakan saya sepanjang tahun. Saya sudah cukup gembira dengan kehadiran peminat Perancis dan hari ini, kami memperoleh sebab utama untuk gembira."

Kemenangan Zarco turut menghentikan deretan 22 kemenangan Ducati secara berturut-turut selain kemenangan pertama LCR Honda sejak Alex Rins melakukannya pada 2023 di COTA.