KEMENANGAN Ini Amat Penting - Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/15/20251 min read


PELUMBA pasukan ROKiT BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu menyifatkan kemenangan pada Perlumbaan 1 di Pusingan 6 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 di Emilia-Romagna, Misano, Itali sebagai amat penting.
Perlumbaan itu sekali lagi menyaksikan Razgatlioglu bersaing sengit dengan pelumba Ducati, Nicolo Bulega sehingga garisan penamat.
Tetapi, ia turut 'dimeriahkan' dengan pelbagai drama yang menyaksikan pelumba Turki itu terlepas kedudukan sebagai pendahulu di awal perlumbaan sebelum meraih semula kedudukan itu daripada Bulega selepas pencabarnya itu melakukan kesilapan di beberapa pusingan kemudian.
Bulega yang menguasai sesi kelayakan turut kehilangan tempatnya di grid utama selepas dikenakan penalti yang menyaksikan kedudukan itu diisi Razgatlioglu.
"Ia bukan perlumbaan yang mudah, setiap pusingan saya menekan diri sehingga maksimum," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com selepas Perlumbaan 1 dengan kemenangan menyaksikannya hanya dibezakan 26 mata daripada Bulega.
"Saya tahu yang Bulega dan pelumba-pelumba Ducati amat kuat di litar ini. Dalam keadaan panas, tidak mudah untuk menunggang motosikal bagi sesiapapun. Saya hanya cuba menguruskannya.
"Pada pusingan-pusingan terakhir, saya merasai banyak gegaran dan getaran. Saya hanya fokus untuk memenangi perlumbaan, dan ia amat penting buat saya."
Razgatlioglu menjelaskan 'kesilapan' yang dilakukannya pada selekoh kelapan adalah disebabkan isu brek enjin jenteranya.
"Pada pusingan pertama, saya melakukan kesilapan kerana kami masih berdepan masalah brek enjin," katanya. "Saya bangkit dengan pantas. Saya hanya mengikuti Bulega kerana dia menekan habis-habisan pada pusingan pertama.
"Apabila saya memintasnya, saya menunggang dengan lebih mudah kerana saya berseorangan. Dia menekan dengan kuat, jurang amat kecil. Setiap pusingan dia memberi tekanan dan dia juga cuba mengikuti saya."
Kemenangan di Misano adalah yang ke-64 buat Razgatlioglu di WorldSBK yang menyaksikannya memintas kedudukan Alvaro Bautista sebagai pelumba kedua paling banyak memenangi perlumbaan tetapi masih jauh di belakang Jonathan Rea yang memiliki 119 kemenangan.
"Ini amat bagus kepada saya," katanya. Selepas menandatangani untuk berada di MotoGP pada tahun depan, saya amat gembira tetapi saya hanya fokus kepada kerja saya.
"Minggu ini amat penting bagi saya kerana kami masih bersaing untuk kejuaraan di WorldSBK. Pusingan ini juga amat penting bagi saya, kami memenangi perlumbaan pertama, tetapi kami akan mengharungi dua perlumbaan lagi. Ini juga amat penting."
