KEMENANGAN Sulung Marc Marquez Bersama Ducati Lenovo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20252 min read

MARC Marquez tak menunggu lama untuk merangkul kemenangan pertamanya sebagai pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo selepas menjuarai Perlumbaan Sprint pusingan pembuka tirai MotoGP 2025 di Buriram, Thailand, hari ini.

Marquez yang menyingkirkan Jorge Martin untuk tempat di grid Ducati Lenovo pada pertengahan musim lalu membuktikan jangkaan tinggi yang diletakkan kepadanya dan memimpin perlumbaan sejak awal hingga penamat.

Memulakan perlumbaan di petak utama memudahkan tugas pelumba berusia 32 tahun itu untuk menang dengan adiknya, Alex Marquez daripada pasukan Gresini Ducati menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia yang berdepan situasi sukar apabila terpaksa menyertai Kelayakan 1 di sebelah pagi melengkapkan kedudukan podium.

Kali terakhir Marquez memulakan saingan MotoGP sebagai pendahulu adalah pada 2019 ketika dia masih bergelar pelumba Repsol Honda.

Selain kemenangan Marquez, paling menarik pastinya prestasi ditampilkan pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 sebagai pelumba 'rookie'.

Tempat kelima diisi pelumba pasukan VR46 Ducati, Franco Morbidelli yang akan menjalani penalti tiga grid ke belakang pada perlumbaan utama GP esok.

Pedro Acosta muncul pelumba terbaik KTM apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 dengan Fabio Quartararo (Monster Yamaha) menjadi pelumba terbaik Yamaha selepas pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller terjatuh di pusingan ke-7 ketika berada di posisi enam terbaik.

Rakan sepasukan Acosta, Brad Binder di tempat ke-7 dengan Joan Mir (Honda HRC Castrol) mengutip mata terakhir.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Thailand 2025

  1. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25) 19m 35.005 saat (s)

  2. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +1.185s

  3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +3.423s

  4. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +4.392s

  5. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +5.790s

  6. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +11.700s

  7. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +13.437s

  8. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +14.228s

  9. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +15.453s

  10. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +16.209s

  11. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +16.817s

  12. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +17.152s

  13. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24)*, +17.741s

  14. Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +18.984s

  15. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +19.149s

  16. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +19.569s

  17. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +20.140s

  18. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +23.948s

  19. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +24.594s

  20. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), +31.443s

Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), DNF

Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF