KEMENANGAN Yang Menakjubkan - Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/14/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu seperti berada di kelas berbeza ketika melintasi garisan penamat Perlumbaan 1 WorldSBK di Donington Park, UK, semalam yang menyaksikan jurang cukup besar tercipta di antara pemenang dan naib juara.

Memulakan perlumbaan di petak utama selepas memecahkan rekod terpantas litar ketika kelayakan, pelumba kelahiran Turki itu memimpin perlumbaan dari awal sehingga akhir.

Pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 11.384 saat di depan Alex Lowes dari Kawasaki Racing dan meraikan kejayaan itu dengan gaya berenang mirip pernah dilakukan pelumba MotoGP, Marc Marquez.

Dan jurang masa yang dibuat oleh juara dunia WorldSBK 2021 itu adalah yang terbesar dalam kariernya dengan kemenangan di Donington Park adalah yang ketujuh buatnya.

"Perasaannya menakjubkan kerana ini adalah litar kegemaran saya, kami menang lagi di sini dan ia kemenangan yang besar kerana 10 saat, 12 saat... Saya tidak tahu! Ini juga adalah yang pertama dalam karier saya," kata Razgatlioglu.

Selain melakukan aksi renang, Razgatlioglu turut menampilkan babak seperti dikenakan saman, yang merujuk kepada tindakannya yang dikenakan denda atas aksi angkat tayar belakang di Misano.

"Saya laju pada minggu ini. Saya perlu memanfaatkannya kerana kejuaraan amat penting bagi saya," kata Razgatlioglu.

"Terima kasih kepada pasukan saya atas kerja yang menakjubkan pada minggu ini, kami benar-benar kuat.

"Kini kami boleh memberi fokus kepada dua lagi perlumbaan dan saya akan cuba memberikan yang terbaik sekali lagi."