KEMPEN 2025 Pembelajaran Paling Berharga, Hakim Danish Sedia Hadapi Musim 2026

Selepas mengharungi tahun 2025 yang disifatkan penuh mencabar, Hakim Danish Ramli mengakui dia kini bersedia untuk menghadapi kempen yang dijangka lebih getir pada musim 2026

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/1/20261 min read

SELEPAS mengharungi tahun 2025 yang disifatkan penuh mencabar, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui dia kini bersedia untuk menghadapi kempen yang dijangka lebih getir pada musim 2026.

Menjelaskan tahun lalu sebagai 'medan pembelajaran paling berharga' dalam kariernya, pelumba muda berusia 18 tahun itu seperti diketahui akan beraksi sepenuh masa di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSi.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya memperoleh tempat berkenaan berikutan konsistensi yang ditunjukkan sepanjang saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) termasuk kejayaan menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas.

"Terima kasih untuk tahun 2025, banyak perkara yang saya pelajari. Saya gembira kerana berjaya berada dalam kedudukan tiga terbaik RBMRC dan naik podium di JuniorGP (JrGP).

"Tidak dilupakan juga peluang wildcard Moto3 di Sepang serta dua perlumbaan terakhir bersama MSI Racing,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pada saingan JrGP, Hakim Danish menamatkan saingan di kedudukan kelapan keseluruhan, pencapaian yang dianggap cukup membanggakan bagi seorang pelumba muda.

Kehadiran bekas juara Asia Talent Cup 2022 itu di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia sekali gus mengembalikan semula kelibat pelumba Malaysia di kejuaraan dunia selepas beberapa tahun ketiadaan wakil tetap.

Apa yang lebih menarik, tiket yang diperoleh Hakim bersama MT Helmets-MSi bukanlah 'dibeli', sebaliknya jemputan terus daripada pasukan berdasarkan bakat dan kemampuan yang ditunjukkan sepanjang musim lalu.