KEMPEN Keselamatan Jalan Raya 2024 Suzuki Malaysia-AMI Meriah, Padat Aktiviti!

TERKINI

1/24/20241 min read

SUZUKI Malaysia Sdn Bhd - AFY Mobility Industries (AMI), hari ini menganjurkan edisi kedua Kempen Keselamatan Jalan Raya 2024 dengan tema 'Keprihatinan Anda, Keselamatan Bersama.'

Seperti biasa, program tahunan ini yang dilaksanakan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang bakal menjelang dan menyasarkan penunggang serta pembonceng motosikal.

Dilaksanakan di lokasi tumpuan Hentian Rehat Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan, ia disertai oleh lebih 500 pengguna motosikal yang menggunakan laluan berkenaan.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia, Datuk Wee Hong dan turut hadir adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya.

Seperti biasa, antara program paling mendapat tumpuan adalah penukaran helmet lama kepada baharu secara percuma selain pemeriksaan keselamatan motosikal 16 poin dilakukan mekanik Suzuki terlatih.

Selain itu, turut ditawarkan kepada sesiapa yang mendaftar adalah sarung tangan dan jaket keselamatan secara percuma.

Ahmad Faez berkata pihaknya berharap penglibatan dan penganjuran Kempen Keselamatan Jalan Raya 2024 dapat membantu Kerajaan menyebarkan maklumat mengenai keselamatan jalan raya selain membantu mengurangkan statistik kemalangan dan kehilangan nyawa akibat kemalangan, terutama membabitkan penunggang motosikal.

Kempen ini turut mendapat kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) yang turut disokong Lembaga Lebuhraya Malaysia, (LLM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS), PLUS Malaysia Berhad (PLUS), AEON Credit Service (M) Bhd, Tokio Marine Insurance Malaysia, Nestlé Malaysia, KHI Helmets, Bridgestone Tyre Malaysia, RCB Malaysia dan DID Malaysia Sdn Bhd.