KEMPEN Mengecewakan Buat Hakim Danish Di Magny-Cours
Perlumbaan pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Magny Cours, Perancis berakhir mengecewakan buat pelumba negara, Hakim Danish Ramli selepas berdepan kemalangan pada aksi yang berlangsung dalam keadaan litar basah
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/6/20251 min read


PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli mengharungi kempen mengecewakan pada Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Magny Cours, Perancis, hari ini selepas berdepan kemalangan pada perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar basah.
Susulan hujan lebat, perlumbaan yang dijadualkan pada 7 malam (waktu Malaysia) terpaksa ditangguhkan seketika.
Memulakan perlumbaan di petak ke-5, Hakim Danish yang berlumba bersama pasukan SIC Racing-MSi dapat mengekalkan kedudukannya di kelompok depan tetapi malang menimpa pelumba berusia 17 tahun itu apabila terjatuh berbaki sembilan pusingan.
Pelumba kelahiran Terengganu itu bangkit dan berusaha untuk kembali ke perlumbaan tetapi sedikit bergelut dengan jentera.
Dan sekali pun berjaya meneruskan perlumbaan, pelumba negara itu hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-29 sekali gus tidak membawa sebarang mata pada pusingan kali ini.
Turut berdepan kemalangan adalah pendahulu kejuaraan, Brian Uriarte tetapi pelumba pasukan UAX Seventytwo Artbox itu turut bangkit dan melepasi garisan penamat di kedudukan ke-10.
Tetapi deretan kemalangan yang berlaku akhirnya menyaksikan bendera Merah dikibarkan ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.
Keputusan itu memberikan kemenangan kepada pelumba Sepanyol, Joel Esteban dari pasukan CFMoto Aspar Junior Team dengan dua pelumba Esterlla Galicia 0'0, Casey O'Gorman dari Ireland dan Roco Salmela dari Finland melengkapkan kedudukan podium.
Tiada catatan mata diperoleh di Perancis menyaksikan kedudukan Hakim Danish dalam carta kejuaraan JrGP turut jatuh ke tangga ke-6 berbanding 4 sebelum ini.
Pusingan 4 JrGP 2025 dijadual berlangsung di Litar Aragon, Sepanyol pada 25 hingga 27 Julai ini yang akan membabitkan dua perlumbaan.
