KENA 'Boo', Marc Marquez Tak Heran
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/16/20241 min read


MARC Marquez akhirnya memberi respon terhadap ejekan 'boo' yang diterimanya di podium Grand Prix (GP) San Marino, minggu lalu dan seperti dijangka, ia tidak memberikan 'kudis' kepada juara dunia enam kali MotoGP itu.
Pelumba Gresini, Marquez mencipta kejutan di Misano dengan menjuarai perlumbaan GP dan lebih menyakitkan di depan penyokong Itali yang mengharapkan wira tuan rumah, Francesco Bagnaia muncul juara.
Begitupun, penyandang juara dunia daripada Ducati Lenovo itu terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan selaku naib juara dan rakan sepasukannya, Enea Bastianini ketiga.
Marquez seperti diketahui memiliki hubungan dingin dengan peminat di Itali susulan kontroversi yang tercetus dengan legenda MotoGP negara itu, Valentino Rossi dan ejekan bukan sesuatu yang asing.
Begitupun sedikit mengecewakan, pelumba kelahiran Sepanyol itu memakai seragam Gresini Ducati, pasukan yang turut berpangkalan di negara itu.
Ketika Marquez diejek, Bagnaia antara yang memberi isyarat agak tindakan jelek itu dihentikan.
"Ada ketikanya apabila ia masuk ke sebelah telinga dan ia keluar pada sebelah yang satu lagi," kata Marquez kepada El Larguero mengulas situasi mengecewakan itu.
"Terutama kerana akan ada masa seseorang gembira mengenai kegagalan orang lain dan orang itu adalah orang yang amat tidak gembira dengan diri mereka.
"Dalam kehidupan kegembiraan tidak perlu bergantung atau berpandukan kepada kegagalan orang lain. Tidak kira seberapa berjayanya orang itu, biarkan mereka berjaya.
"Masa kamu akan tiba, tetapi perkara seperti ini sentiasa berlaku dalam sukan dan ia juga adalah masalah kepada sukan dan ia adalah sebahagian daripadanya.
"Atlet, dalam kes ini perlu tahu bagaimana untuk menguruskannya dan bagaimana untuk membuatkannya hanya mengganggu kami seminimum yang mungkin," kata Marquez.
Sebagai info, Gresini Ducati adalah pasukan yang berpangkalan di Emilia Romagna dan bos pasukan itu, Nadia Padovani sebelum ini turut menegaskan ejekan kepada Marquez turut menyakitkan mereka.
