'KEPUTUSAN Jorge Martin Tidak Beraksi Di Austin Bijak'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/14/20251 min read


PENYANDANG juara dunia MotoGP, Jorge Martin sah tidak akan beraksi di pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Americas dan penampilannya di perlumbaan seterusnya di Qatar masih samar.
Martin mengumumkan perkara berkenaan dalam satu panggilan video ketika GP Argentina dengan pelumba pasukan Aprilia Racing akan meneruskan proses pemulihannya susulan kecederaan berulang yang dihadapi di Malaysia dan Sepanyol.
Sekalipun ketiadaannya di Amerika Syarikat sudah dijangka, juara dunia lapan kali, Marc Marquez menyifatkan tindakan rakan senegaranya itu sebagai bijak.
"Saya fikir ia keputusan yang bijak untuk tidak berlumba di Austin, ia adalah litar yang amat memberi tekanan kepada fizikal," kata Marc Marquez yang meraih kemenangan berganda di Buriram.
"Terus berjuang Jorge, kamu akan merasa lebih baik dari hari ke hari dan kami akan menunggu kamu di sini."
Nada sama disuarakan naib juara di GP Thailand, Alex Marquez.
"Ambil masa kamu kerana sudah tentu jika kamu kembali, kamu akan laju seperti biasa," kata Alex.
Martin dalam pada itu menghargai ucapan rakan seperjuangannya itu dan berjanji akan mendengar nasihat Marc dan hanya akan kembali selepas tubuhnya sudah pulih 100 peratus.
Jika Martin turut terlepas aksi di Qatar, pusingan seterusnya adalah di Jerez, Sepanyol yang dijadual pada 25 hingga 27 April depan.
Martin pada musim lalu mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pasukan satelit pertama menjuarai gelaran dunia MotoGP dalam era moden bersama Pramac Ducati.
