KEPUTUSAN Sharf Muhriz, Adam Danial Tak Penuhi Jangkaan - ZK
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/3/20251 min read


PENGURUS pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui keputusan yang diperoleh dua pelumba negara Sharf Muhriz dan Adam Danial di pusingan 1 Asia Talent Cup (ATC) 2025 di Thailand tidak memenuhi jangkaan yang diletakkan oleh pasukan.
Pada Perlumbaan 1, kedua-dua pelumba negara turut berdepan situasi tidak diingini apabila terbabit dalam kemalangan ngeri yang turut mengakibatkan Adam Danial dikejarkan ke hospital dan jenteranya terbakar.
Sekalipun tidak mengalami kecederaan, Sharf Muhriz tidak dibenarkan untuk berlumba pada perlumbaan berkenaan bersama dua pelumba Indonesia yang turut kemalangan, Alvaro Mahendra dan Davino Britani.
Selepas disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius, Adam Danial kemudian diberikan pelepasan untuk berlumba pada Perlumbaan 2 pada Ahad dan menamatkan saingan di tempat ke-12.
Sharf Muhriz begitupun tidak menamatkan perlumbaan selepas berdepan penalti sebelum jenteranya berdepan masalah teknikal.
"Ia tak memenuhi jangkaan malah prestasi pada sesi Latihan Bebas dan Kelayakan juga kurang memuaskan," kata Zulfahmi mengulas prestasi keputusan yang diraih pada pusingan 1 di Buriram.
"Keputusan yang dicatatkan dalam sesi Ujian Rasmi menunjukkan perkembangan positif daripada kedua-dua pelumba.
"Tetapi pada hari perlumbaan, mereka tidak berjaya menampilkan prestasi sebenar yang diharapkan."
Zulfahmi dalam pada itu mengakui masih terdapat ruang yang luas untuk penambahbaikan buat kedua-dua wakil negara itu.
"Pusingan 1 ini akan menjadi tanda aras dalam menilai prestasi pelumba yang sekaligus menjadi panduan untuk membuat persiapan menjelang pusingan seterusnya," katanya.
"Justeru, saya dan pasukan akan terus berusaha keras untuk meningkatkan persiapan serta memperkukuhkan latihan agar kedua-dua pelumba lebih bersedia dan mampu memberi saingan sengit di Pusingan 2 nanti," katanya.
Pusingan 2 ATC 2025 dijadual berlangsung di Lusail International Circuit, Qatar pada 12-13 April ini.
