KEPUTUSAN Steward MotoGP Di Thailand Tak Adil - Joan Mir

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/29/20241 min read

JOAN Mir berkata tunggangan agresif Marc Marquez ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix Thailand yang membawa kepada kemalangan sebagai 'melebihi had' dan menyifatkan hukuman dikenakan kepada bekas rakan sepasukannya di Repsol Honda itu tidak tepat.

Selepas terjatuh daripada posisi podium di pertengahan perlumbaan, Marquez dari Gresini Ducati cuba melakukan kebangkitan namun tindakan agresifnya menyaksikannya melanggar Mir ketika cuba mencabar tempat ke-15.

Susulan itu, juara dunia lapan kali itu diarahkan oleh Steward MotoGP untuk turun satu kedudukan namun ia hanya dilakukannya oleh Marquez selepas dia memintas pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami.

Justeru, Mir menjelaskan dia tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan itu.

"Hampir berada di had? Tidak, ia melebihi had," kata Mir yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 dengan Marquez ke-11 mengulas insiden berkenaan.

"Ia amat sama dengan Perlumbaan Sprint di Jerez. Perkara yang sama berlaku. Saya tidak mahu memberikan komen seperti kebiasaan kerana apabila saya memberikan komen, ia akan berbalik kepada saya. Jadi, saya biarkan kamu mengadilinya.

"Memang benar yang... ada orang yang terpaksa berdepan akibat mengenai perkara ini, dan mustahil yang mereka tidak melihatnya kerana jika kamu ada masalah dengan seorang pelumba, jadi pelumba yang mula untuk menyerang dan cuba mendapatkan lebih banyak kedudukan dan kemudian pada akhirnya kamu turut menggugurkan satu kedudukan.

"Dan apa yang berlaku kepada saya? Saya kehilangan tiga (posisi) apabila kamu melanggar saya. Jadi sudah tentu ia tidak betul bagaimana mereka mengambil keputusan itu.

"Bagi saya perkara paling logik apabila berlaku perkara seperti ini, dan ia banyak kali terjadi kepada saya apabila saya menyentuh pelumba lain, adalah kamu dikenakan hukuman 'long lap'.

"Penalti 'long lap' dan kamu hilang posisi yang kamu buat saya hilang, kerana ketika kamu melanggar saya, saya berada dalam posisi long lap. Ini adalah perkara paling logik."