KERAJAAN T'Ganu Hadiahkan Qabil Irfan RM 15k Julang Gelaran Dunia MiniGP 2023!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/15/20231 min read

KEJAYAAN membanggakan pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan yang merangkul gelaran dunia MiniGP 2023 di Sepanyol, bulan lalu terus mendapat penghargaan terbaharu daripada kerajaan negeri Terengganu.

Atas kejayaan yang dicapai pelumba berusia 11 tahun itu, kerajaan negeri menganjurkan Program ”Exclusive Meet & Greet With World Championship FIM Mini GP 2023” di Litar Permotoran Terengganu, baru-baru ini.

Dan sempena majlis berkenaan, pelumba kelahiran Terengganu itu turut menerima Insentif kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM 15,000.

Insentif itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Ahmad Samsuri, memetik laporan BHarian, insentif itu diberikan kepada Qabil Irfan atas kejayaannya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Katanya, dia berharap kerja keras dan usaha yang ditunjukkan Qabil mampu menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu khususnya untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing.

Sebelum ini, Qabil Irfan mencipta kejayaan membanggakan Malaysia di Valencia, Sepanyol apabila menjulang gelaran juara dunia Siri Dunia FIM MiniGP 2023 dalam kelas 160 cc.

Lebih menarik, pelumba muda itu berjaya memenangi gelaran dengan cukup dominan iaitu menjuarai ketiga-tiga perlumbaan final yang ditawarkan.

Sebagai rekod, kerajaan negeri Terengganu menyediakan sebuah motosikal dengan harga mencecah RM 40,000 kepada Qabil Irfan sebagai latihan dan persediaan menghadapi perlumbaan.