KERAJAAN Timbang Lanjut Program MARiiCas Hingga 2026!
Sehingga 8 Oktober lalu, seramai 10,600 rakyat Malaysia sudah menerima manfaat rebat pembelian motosikal elektrik bernilai RM2,400 di bawah skim MARiiCas
TERKINI
10/13/20251 min read


PERKEMBANGAN positif membabitkan program MARiiCas atau Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik apabila pihak kerajaan sedang meneliti cadangan untuk melanjutkan pelaksanaannya melebihi tahun 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, memetik laporan BH, menjelaskan perkara itu kini dalam pertimbangan Kementerian Kewangan selepas program tersebut mencatatkan kadar penyertaan tinggi sejak dilancarkan pada penghujung 2023.
Sejak diperkenalkan, program itu dikatakan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.
Sehingga 8 Oktober lalu, seramai 10,600 rakyat Malaysia sudah menerima manfaat rebat pembelian motosikal elektrik bernilai RM2,400 di bawah skim MARiiCas.
Program itu menyasarkan 12,155 penerima manfaat dengan peruntukan keseluruhan RM 29.17 juta. Setakat ini, pelaksanaannya telah mencapai 87.2 peratus daripada sasaran, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM 26.09 juta.
Sebagai info, MARiiCas diumumkan menerusi Belanjawan 2024 itu disasarkan kepada warganegara berpendapatan tahunan bawah RM120,000, termasuk pelajar dan pesara yang memiliki lesen motosikal sah (B, B1 atau B2).
Pada tahun 2024, sejumlah 19 model motosikal elektrik ditawarkan kepada 3,582 pemohon yang berjaya.
Jumlah itu meningkat kepada 28 model bagi tahun 2025 (sehingga 1 September), dengan 7,018 pemohon menerima manfaat - peningkatan hampir 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Zafrul turut mengulas mengenai pemohon yang gagal menuntut rebat walaupun berdaftar dan memiliki kod QR sah.
Menurutnya, kegagalan itu berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap syarat kelayakan, termasuk had pendapatan dan pemilikan lesen motosikal yang sah.
Semalam, pihak PPMEM mengemukan surat rayuan supaya kerajaan dapat melanjutkan program berkenaan selepas ia tidak dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026.
