KERJA Saya Jadi Lagi Susah Selepas Le Mans - Gigi Dall’Igna

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/14/20241 min read

BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menjelaskan tugasnya kini menjadi lebih sukar selepas Grand Prix (GP) Perancis 2024 khususnya membabitkan siapa yang bakal bergelar kepada rakan sepasukan Francesco Bagnaia musim depan.

Setakat ini, tiga pelumba - Jorge Martin, Marc Marquez dan Enea Bastianini berada dalam senarai akhir pelumba yang akan beraksi bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo.

Dan ketiga-tiganya meraih keputusan cemerlang apabila mengisi empat kedudukan teratas di Le Mans yang menyaksikan Martin (Pramac Ducati) menjuarai perlumbaan, Marquez (Gresini Ducati) kedua dan Bastianini (Ducati Lenovo) ke-4.

Ketika mengulas prestasi Marquez, Pengurus Besar Ducati Corse, Dall’Igna mengakui apa yang dicapai oleh juara dunia MotoGP enam kali itu sebagai menambah kesukaran buatnya.

“Dia adalah Marc Marquez! Sudah tentu, dia boleh melakukan perkara seperti itu dan dia melakukannya," kata Dall’Igna.

"Lebih sukar (Keputusan). Ini adalah kerja saya dan saya perlu memilih pelumba paling baik untuk pasukan 'Kilang' kami dan pelumba terbaik untuk pasukan kami yang lain juga (satelit).

"Saya mempunyai sesuatu untuk difikirkan pada minggu ini," katanya.

Mengulas keputusan cemerlang yang diraih Martin yang merangkul kedua-duya perlumbaan yang ditawarkan di Le Mans, Dall’Igna mengakui bangga dengan apa yang diraih pelumba Sepanyol itu.

“Jorge mengharungi perlumbaan yang menakjubkan, bukan saja perlumbaan yang menakjubkan, tetapi minggu yang menakjubkan. Saya benar-benar bangga dengannya dan dia berada dalam pasukan kami.

"Tetapi Pecco (Bagnaia) juga melakukan perlumbaan yang baik, dan Marc melakukan tugas yang cemerlang sepanjang minggu.

"Enea Bastianini juga sama, kerana dia melakukan catatan sepasukan terbaik pada penghujung perlumbaan dan merampas kembali kedudukan menentang (Maverick) Vinales. Saya amat gembira dengan pelumba-pelumba kami.