KESAKITAN Masih Terasa - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/3/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia mengakui kesakitan susulan kemalangan ngeri ketika Grand Prix Aragon 2024 yang membabitkan Alex Marquez, minggu lalu masih terasa.
Selepas berjaya memintasnya pelumba Gresini Ducati itu di selekoh 12, Bagnaia begitupun dirempuh pelumba Sepanyol itu di selekoh 13 yang mengakibatkan kedua-duanya terhumban ke kawasan batu kerikil litar.
Daripada rakaman video, impak kemalangan itu memang mengerikan dengan Bagnaia pada satu ketika turut dihimpit jentera Ducati GP23 milik Alex.
Begitupun, selepas melakukan ujian, kedua-duanya disahkan tidak memperoleh sebarang kecederaan serius namun Bagnaia berkata, keadaannya tidak seratus peratus.
Lebih membimbangkan, pusingan seterusnya dijadual berlangsung pada hujung minggu ini di Grand Prix (GP) San Marino di Misano, Itali.
"Ketika ini, saya masih dalam kesakitan, terutama di bahagian bahu kiri saya, tetapi nampaknya tiada apa yang patah," kata Bagnaia.
"Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatkan kecergasan terbaik di Misano."
Pecco dalam pada itu turut memperincikan insiden yang dihadapinya bersama Alex dalam laman sosial media rasminya.
"Saya mengambil peluang apabila Alex melakukan kesilapan (selekoh 12) untuk berada di depannya dan masih ke selekoh seterusnya dengan agak lebar kerana tahu ada pelumba lain. Jadi agak mengecewakan apabila ia berakhir seperti itu pada minggu yang memang sudah sukar buat saya," katanya.
"Selepas satu lagi permulaan yang buru, berikutan keadaan mencabar di kawasan grid, saya sedang cuba melakukan kebangkitan yang baik dan saya juga amat laju."
Menuju aksi di Misano, Bagnaia ironinya berdepan situasi hampir sama seperti tahun lalu apabila dia berdepan kemalangan ngeri di GP Catalan dan tiba di Misano dengan kecederaan kaki.
Disebalik kecederaan yang dihadapinya, pelumba Itali itu menamatkan kedua-dua perlumbaan - Sprint dan GP di kedudukan ketiga.
