KESAKITAN Tangan Rencat Aksi KIP Di Magny-Cours
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/9/20241 min read


PELUMBA negara di WorldSSP, Khairul Idham Pawi kembali berada di kelompok pungutan mata pada Perlumbaan 1 di Magby-Cours, Perancis tetapi prestasi sama tak berjaya diulangi pada Perlumbaan 2.
Terpaksa memulakan perlumbaan di petak paling belakang susulan mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan atau turut dikenali Superpole, tidak banyak harapan diletakkan kepada pelumba kelahiran Perak itu sebelum perlumbaan bermula.
Begitupun, bekas pelumba Moto3 dan Moto2 itu berjaya menamatkan Perlumbaan 1 yang terpaksa dijadual semula pada Ahad berikutan hujan lebat pada Sabtu itu di kedudukan ke-15 yang memberinya satu mata kejuaraan.
Tetapi selepas beberapa jam, kesakitan tangan yang dihadapinya ketika kemalangan ketika sesi kelayakan kembali mengganggu yang menyaksikannya terpaksa menamatkan aksi kedudukan terakhir.
"Pada Perlumbaan 1, saya merasa baik dengan jentera saya," kata Khairul Idham yang lebih dikenali KIP. "Saya perlu memulakan perlumbaan di grid paling belakang yang sememangnya memberikan kesukaran tetapi mendapat tempat ke-15 adalah keputusan yang baik.
"Pada Perlumbaan 2, saya bergelut di bahagian depan, juga dengan tangan kiri saya, yang sakit susulan kemalangan semalam.
"Amat sukar untuk memberi tumpuan sepanjang 19 pusingan perlumbaan, tetapi saya melakukan yang terbaik.
"Kini saya akan fokus sepenuhnya kepada persiapan bagi pusingan seterusnya di Cremona."
Keputusan di Magny-Cours menyaksikan KIP mengulangi pencapaiannya pada perlumbaan pembuka tirai WSBK 2024 di Australia, Februari lalu.
