KESILAPAN Besar, Tapi Kami Bertuah - Marc Marquez

Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez tetap melepasi garisan penamat Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Itali 2025 di Mugello sebagai juara sekali pun melakukan 'kesilapan' di grid permulaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/22/20251 min read

MARC Marquez sekali lagi mengharungi permulaan sukar di grid permulaan Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Itali 2025 di Mugello berikutan 'kesilapan' yang dibuat tetapi ia masih berakhir dengan nota gembira apabila pelumba Ducati Lenovo itu melepasi garisan penamat sebagai juara.

Mengulas lanjut situasi itu, juara dunia lapan kali yang memulakan perlumbaan di petak utama berkata masalah itu terjadi selepas dia berdepan 'salah faham yang besar' membabitkan sistem kawalan pelancaran jenteranya.

Situasi itu - yang turut menyaksikannya perlu menyentuh sesuatu di bahagian kiri jenteranya sebelum perlumbaan bermula - jatuh ke kedudukan 10 terbaik sebelum melepasi selekoh pertama dan terpaksa bekerja keras untuk kembali ke depan.

"Saya berdepan salah faham yang besar pada permulaan perlumbaan dengan kawalan pelancaran," kata Marquez kepada motogp.com.

"Pertama sekali saya fikir saya sudah mengaktifkannya, tetapi saya tidak membaca mesej di skrin saya dengan baik dan ia tidak aktif. Dan kamudian pada saat akhir ketika saya memulas terotel dan lampu menyala, saya melihat kawalan pelancaran tidak aktif dan kemudian saya fikir saya betul dan saya fikir saya menekan butangnya dengan tangan kanan untuk menghidupkannya semula.

"Sukar, tetapi kami bertuah... sejujurnya, ia kesilapan yang besar, tetapi kami bertuah pada tiga selekoh seterusnya saya berada di masa yang betul, di garisan yang betul untuk mula berada di belakang Pecco (Bagnaia) dan Alex (Marquez).

Marc tidak menunggu lama untuk memintas Pecco yang mendahului perlumbaan di awal saingan selepas kedudukan itu diambil Alex.

Dan selepas beberapa kali melakukan 'serangan' ke atas adiknya, Marc kemudian berjaya memintasnya ketika berbaki tiga pusingan dan melepasi garisan penamat 1.4 saat di depan Alex dan meningkatkan kelebihan di carta kejuaraan kepada 35 mata.