KETIADAAN Jorge Martin 'Beri Kesan' Kepada Semua Orang Di Aprilia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/11/20251 min read


JORGE Martin sah terlepas ujian pra-musim MotoGP di Buriram, Thailand dan menurut rakan sepasukannya Marco Bezzecchi, ketiadaan juara dunia 2024 itu memberi kesan kepada keseluruhan pasukan di Aprilia.
Seperti diketahui, Martin mengalami kecederaan serius selepas berdepan kemalangan pada hari pertama ujian pra-musim di Sepang, minggu lalu yang memaksanya menerima rawatan di Eropah.
Selepas mengumumkan pembedahannya berjaya, Aprilia mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai ketiadaan pelumba Sepanyol itu bagi ujian di Buriram.
Sekali lagi akan 'bersendirian' di Buriram, Bezzecchi mengakui ketiadaan Martin satu masalah namun pasukan itu tetap perlu meneruskan ujian.
"Saya perlu mencuba sekali lagi sesuatu dari sudut elektronik," kata Bezzecchi memetik laporan Crash.net.
"Boleh dikatakan segala-gala yang perlu kami usahakan, juga termasuk gaya tunggangan saya, untuk mengadaptasi gaya tunggangan saya dengan jentera.
"Tidak mempunyai Jorge sudah tentu akan menjejaskan semua orang dalam pasukan, juga saya. Tetapi inilah yang kami ada, jadi saya perlu melakukan tugas saya dan tidak perlu mengadu."
Ketiadaan Martin di Buriram menyaksikan pelumba kelahiran Sepanyol itu hanya sempat melakukan 90 pusingan bersama jentera Aprilia RS-GP dengan kebanyakannya diperoleh ketika di Barcelona tahun lalu.
Kemalangan di selekoh dua Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS itu turut menyaksikan 'perang mulut' membabitkan Aprilia dan pembekal tayar tunggal MotoGP, Michelin.
"Masih ada beberapa komponen yang kami tidak cuba di Sepang. Tetapi ia berada dalam perancangan kami.
"Kami bernasih baik kerana kami berjaya mengikuti perancangan ketika di Sepang, tetapi masih ada beberapa benda yang kami simpan untuk ujian di sini, terutama esok. Kamudian sudah tentu kami perlu bersedia untuk minggu perlumbaan," kata Bezzecchi.
