KEUTAMAAN Untuk Kembali Rasa Nikmat Menunggang - Tarran Mackenzie

Kata-kata bekas pelumba PETRONAS MIE Racing Honda, Tarran Mackenzie seperti memberi petunjuk yang dia tidak gembira bersama pasukan yang disertainya sebelum ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/29/20251 min read

BEKAS pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda, Tarran Mackenzie berkata mengembalikan rasa nikmat dan keseronokan menunggang jentera perlumbaan adalah keutamaannya ketika membuat kepulangan semula ke pentas WorldSBK bersama MGM Bonovo Ducati.

Mackenzie menampilkan aksi meyakinkan pada penampilan sulungnya bersama pasukan itu pada pusingan Hungary yang juga keputusan terbaik musim ini setakat ini.

Pelumba Britain itu, yang sebelum ini menamatkan kerjasama dengan pasukan PETRONAS MIE Racing Honda selepas pusingan di Misano, berjaya meraih tempat kelapan dalam Perlumbaan Superpole yang berlangsung pada pagi Ahad – pencapaian terbaiknya dalam WorldSBK setakat ini.

Selain penamat tempat kelapan dalam Superpole, Mackenzie turut mencatat keputusan memberangsangkan dalam Perlumbaan 2 apabila menamatkan saingan di tempat ke-11.

“Saya sangat gembira,” kata Mackenzie. “Banyak perkara berlaku pada hujung minggu ini – trek baharu, jentera baharu, pasukan baharu. Cuaca juga berubah-ubah, dari panas ke hujan, kemudian guna tayar slick atas litar basah, dan akhirnya satu perlumbaan penuh dalam keadaan kering.

“Matlamat utama saya minggu ini adalah untuk kembali rasa seronok menunggang dan tersenyum semula. Saya berjaya capai itu sejak Jumaat, dan terus berkembang sepanjang hujung minggu."

Dengan empat lagi pusingan berbaki musim ini – kesemuanya di litar yang sudah dikenalinya – Mackenzie optimis prestasinya akan terus meningkat, lebih-lebih lagi selepas mula selesa dengan jentera Ducati dan sokongan dari pasukan baharu.