KIMI Antonelli Tunai Janji Warna Rambut 'Tricolore' Ikonik Valentino Rossi

Pelumba berusia 20 tahun, Kimi Antonelli melakar sejarah sebagai juara dunia F1 termuda selepas mengesahkan kejuaraan dengan baki 4 perlumbaan di Mexico, selain menamatkan kemarau 73 tahun tanpa gelaran dunia buat negara kelahirannya Itali

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/12/20261 min read

PELUMBA Formula Satu (F1) Itali, Kimi Antonelli menunaikan janjinya dengan mewarnakan rambut mengikut warna bendera Itali atau dikenali 'tricolore' sebagai cara meraikan kejayaan merangkul gelaran Dunia F1 musim ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu melakar sejarah sebagai juara dunia F1 termuda selepas mengesahkan kejuaraan dengan baki 4 perlumbaan di Mexico, selain menamatkan kemarau 73 tahun tanpa gelaran dunia buat negara kelahirannya.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport, Antonelli sebelum ini mendedahkan perancangan untuk mengotakan janji bagi mewarnakan rambut sekiranya dia berjaya bergelar juara dunia.

"Saya sudah ada pewarna itu! Cuma saya perlu putuskan sama ada mahu melakukannya pada hujung minggu ini atau tunggu minggu depan apabila saya pergi ke kilang di Brackley dan berucap di hadapan semua pekerja. Pasti menyeronokkan hadir ke sana dengan rambut berwarna," katanya.

Janji itu akhirnya dikotakan apabila Antonelli hadir ke kilang Mercedes pada minggu ini dengan gaya rambut radikal itu, yang mana detik itu turut dikongsikan oleh pasukan menerusi satu klip video di media sosial berserta kapsyen: "Kimi lakukannya. Dia benar-benar lakukannya."

Menariknya, gaya rambut 'tricolore' yang diwarnakan dengan warna merah, putih, dan hijau itu merupakan satu penghormatan dan kesinambungan kepada gaya yang pernah digayakan oleh idolanya, legenda MotoGP, Valentino Rossi pada tahun 1998.

Selain kepulangan Antonelli, suasana di ibu pejabat di United Kingdom itu bertambah meriah apabila seluruh pasukan Mercedes akhirnya dapat berkumpul meraikan kejayaan menjulang Kejuaraan Pengeluar buat kali pertama sejak 2021 yang dimenangi di Brazil.