PELUMBA WorldSSP negara, Khairul Idham Pawi dan Azroy Hakeem Anuar menamatkan Pusingan 11 WSBK 2024 di Estoril, Portugal tanpa pungutan mata.
Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di luar kedudukan mata, keputusan sama diperoleh kedua-dua pelumba yang beraksi bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu pada Perlumbaan 2, hari ini.
Begitupun, Khairul Idham 'hampir' untuk mengutip mata apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17.
Tetapi malang bagi Azroy yang beraksi secara 'wildcard' selepas terpaksa meninggalkan trek lebih awal susulan masalah jentera.
Seorang lagi pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu, Kaito Toba dari Jepun turut mengalami 'DNF' selepas kemalangan.
Perlumbaan 2 WorldSSP dimenangi pelumba Pata Yamaha Ten Kate Racing, Stafano Manzi.
Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan Aruba.it Racing WorldSSP, Adrian Huertas dan melengkapkan kedudukan podium seorang lagi pelumba Yamaha, Valentin Debise (Evan Bros. WorldSSP Yamaha).