KIP Bersemangat Hadapi Cremona

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/20/20241 min read

PELUMBA tunggal negara di pentas WorldSSP Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024, Khairul Idham Pawi berharap latihan yang dijalankan di Litar Cremona, Itali sebelum ini bakal memberikan sedikit 'bantuan' kepadanya terutama membabitkan data.

Selepas lapan pusingan berlangsung, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu tampak cukup bergelut dan ketika ini menghuni tangga ke-35 kedudukan pelumba WorldSSP 2024 dengan mengumpul hanya dua mata.

Tetapi selepas meraih satu mata di Australia pada aksi pembukaan, apa yang positif adalah pelumba kelahiran Perak itu kembali mengutip mata kejuaraan pada Pusingan 8 WSBK di Magny-Cours, Perancis tiga minggu lalu.

Pernah menjalani ujian di Cremona sebelum ini - gelanggang yang buat pertama kali menjadi venue WSBK, KIP berharap pengalaman itu dapat dimanfaatkan.

"Saya lega kerana kami berpeluang menjalani latihan di Cremona pada awal tahun ini, jadi kami mempunyai sedikit data tetapi masih banyak kerja keras yang perlu dibuat pada minggu ini," kata KIP.

"Pertamanya, kami perlu melihat bagaimana keadaan cuaca kami ini dan kemudian membuat persiapan yang sepatutnya.

"Harapnya segala berjalan dengan lancar tidak seperti di Magny-Cours apabila hujan benar-benar memberi impak.

"Ayuh lihat apa yang kami boleh lakukan di litar baharu ini," katanya.

KIP sekali lagi terpaksa berlumba 'berseorangan' di Cremona selepas seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi di kelas WorldSBK sekali lagi terpaksa disisihkan selepas belum pulih daripada kecederaan.