KIP Harap Pengalaman Bantu Cipta Kebangkitan Di Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/9/20241 min read

PELUMBA WorldSSP negara, Khairul Idham Pawi sekali lagi mengharapkan pengalamannya beraksi di Portimao, gelanggang bagi Pusingan 7 WSBK 2024 di Portugal dapat memberikannya kelebihan.

Selepas 6 pusingan dengan 12 perlumbaan diharungi musim ini, pelumba kelahiran Perak itu dilihat terus bergelut termasuk terjatuh pada perlumbaan terakhir di Most.

Dan ia adalah satu-satunya keputusan 'DNF' diperolehnya musim ini dengan satu-satunya perlumbaan yang memberinya pungutan mata adalah di perlumbaan pembukaan di Australia.

Pernah berlumba di litar berkenaan sebelum ini di kejuaraan dunia dan mengakui ia venue yang sukar, pelumba dengan gelaran KIP itu

tetap berharap kemajuan dapat dicapai pada penampilannya kali ini.

"Saya pernah beraksi di Portimao sebelum ini, pernah berlumba di sini pada tahun 2020 jadi saya mengetahui mengenai litar ini dan juga tahu yang ia cukup teknikal," kata KIP.

"Kami akan terus melakukan sebaik mungkin dan cuba untuk mendapatkan kemajuan yang baik ketika latihan untuk mendapatkan posisi terbaik ketika kelayakan pada petang Jumaat.

"Kami menjangkakan beberapa kemas kini terhadap jentera pada pusingan ini, jadi harapnya kami terus bertambah baik seperti yang kami tunjukkan pada pusingan sebelum ini.

"Saya tidak sabar untuk mengharunginya."

Sebagai rekod, KIP ketika ini menghuni tangga ke-34 carta pelumba WorldSSP 2024 selepas sekadar mengutip satu mata ketika aksi di Phillip Island, Australia pada Februari lalu.